ISMAIL Haniyeh. FOTO Reuters.
ISMAIL Haniyeh. FOTO Reuters.
Reuters

Baitulmaqdis: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh semalam memaklumkan pihaknya masih berusaha mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan, meskipun selepas Israel menyerang Gaza yang mengorbankan tiga anaknya.

Bercakap di Qatar semasa menerima ucapan takziah, Haniyeh berkata, "kepentingan rakyat Palestin melebihi segala-galanya" apabila ditanya sama ada serangan itu akan menjejaskan rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

"Kami sedang berusaha untuk mencapai kesepakatan tetapi penjajah (Israel) masih berlengah-lengah dan mengelak beri maklum balas terhadap tuntutan itu," katanya kepada Reuters.

Tentera Israel melakukan serangan pada Rabu tanpa kebenaran daripada komander tertinggi atau pemimpin kanan, kata media Israel semalam.

Agensi berita Israel Walla melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mahupun Menteri Pertahanan Yoav Gallant tidak dimaklumkan terlebih dahulu berhubung serangan pada Rabu ke atas anak Haniyeh, yang mana ia dikoordinasi oleh tentera Israel dan perkhidmatan risikan Shin Bet.

Laporan memetik pegawai kanan Israel berkata, tiga anak lelaki Haniyeh iaitu Amir, Mohammad dan Hazem disasarkan sebagai pejuang dan bukan kerana mereka anak kepada pemimpin tertinggi Hamas.

Tentera Israel enggan mengulas laporan Walla dan laporan lain, sementara tiada kenyataan daripada pejabat perdana menteri.

Haniyeh, 61, memberitahu Reuters yang anak-anaknya bukan pejuang aktif Hamas.

"Dakwaan itu satu penipuan untuk membenarkan jenayah dan pembunuhan beramai-ramai ini.

"Mereka (ketika kejadian) mahu menziarahi sanak saudara sempena Aidilfitri," tambahnya.

Serangan itu membangkitkan kebimbangan dalam kalangan keluarga tebusan warga Israel terhadap risiko rundingan pembebasan itu gagal.

Kerajaan Israel berdepan tekanan yang meningkat daripada keluarga 133 tebusan Israel yang dipercayai masih ditahan di Gaza di bawah Hamas.

Sehingga kini, rundingan yang diketengahkan oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar belum mencapai kata sepakat.

"Kunci kepada mana-mana perjanjian dengan penjajah bermula dengan gencatan senjata kekal dan keutamaan kami dalam proses rundingan yang sedang berjalan ialah pemulangan tanpa syarat orang yang kehilangan tempat tinggal serta penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza," kata jurucakap Hamas Abdel-Latif al-Qanoua dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tanpa syarat itu, perjanjian tidak akan termeterai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 10:27 AM