GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Washington: Guru di sebuah prasekolah di San Antonio, Amerika Syarikat (AS) terkejut selepas menemui pistol di dalam beg galas murid perempuan berusia tiga tahun, Selasa lalu.

Kejadian berlaku di pusat Pra-K 4 SA di San Antonio, lapor KSAT.com.

Menurut kenyataan pihak sekolah, kanak-kanak itu tidak menyedari senjata api di dalam beg galasnya.

Seorang guru di sekolah itu merampas pistol berkenaan dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Dalam e-mel yang dihantar kepada ibu bapa pada petang Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif sekolah itu, Sarah Baray berkata, pistol dan beg galas itu segera dirampas.

Jabatan Polis San Antonio (SAPD) kemudiannya memaklumkan bahawa bapa kanak-kanak itu ditahan atas tuduhan membahayakan kanak-kanak.

"Bapa kanak-kanak itu, Pete Robles, 35 tahun, ditahan atas tuduhan membahayakan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah.

"Kanak-kanak kecil itu diletakkan di bawah jagaan perlindungan dengan Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak. Siasatan yang sedang dijalankan masih aktif, dengan kemungkinan penahanan dan pertuduhan tambahan,'' kata polis.

Baray berkata, susulan kejadian, pihaknya menilai semula protokol keselamatan.

"Pihak sekolah kini menggantung sementara penggunaan beg galas di kampus dan meminta pelajar membawa barangan sekolah yang diperlukan di dalam beg plastik lut sinar atau beg Ziplock.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 9:03 AM