FOTO fail menunjukkan polis bergegas ke lokasi kejadian. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan polis bergegas ke lokasi kejadian. FOTO Reuters
AP

Washington: Pihak berkuasa Newport News, Virginia Amerika Syarikat (AS) mengesahkan tiada pergaduhan atau pergelutan fizikal mahupun amaran sebelum berlakunya insiden kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menembak seorang guru.

"Apa yang kita tahu hari ini adalah dia memberikan arahan. Dia mempamerkan senjata api, dia mengacukannya dan dia melepaskan tembakan," kata Ketua polis Newport News, Steve Drew.

Drew menerusi kenyataannya pada sidang media memberi maklumat terperinci pertama mengenai insiden tembakan yang mengejutkan bandar itu, walaupun keganasan senjata api yang berterusan adalah satu kebiasaan di negara seperti Amerika Syarikat (AS).

Drew sebelum ini berkata, tembakan itu tidak disengajakan dan enggan mengulas lanjut.

Beliau kini menjelaskan kenyataan yang dibuatnya sejurus selepas insiden tembakan pada Jumaat susulan kenyataannya terdapat pertengkaran sebelum insiden berkenaan.

Beliau berkata, ia sebenarnya lebih seperti interaksi antara murid dan Abby Zwerener, 25, iaitu mangsa yang bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Richneck.

Drew juga mendedahkan bahawa pistol yang digunakan oleh kanak-kanak lelaki itu dibeli secara sah oleh ibunya.

Katanya, kanak-kanak itu membawa pistol itu di dalam beg galas sebelum ke sekolah, pada hari kejadian.

Ketika kejadian, Zwerner dilaporkan meletakkan tangannya dalam posisi bertahan apabila pistol itu dilepaskan, dan peluru menembusi tangannya seterusnya bahagian atas dadanya, kata Drew.

Keadaan Zwerner yang kini dirawat di hospital, bertambah baik.

Drew menyifatkan Zwerner sebagai wira kerana segera meminta muridnya keluar dari kelas selepas ditembak, malah rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia adalah orang terakhir yang meninggalkan bilik darjah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:02 PM