Reuters

Los Angeles: Enam individu terkorban selepas jet peribadi terhempas dan terbakar di padang berhampiran lapangan terbang dekat Los Angeles, semalam, kata pihak berkuasa tempatan dan persekutuan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dalam kenyataan berkata, pesawat Cessna C550 itu terbang dari Las Vegas dan terhempas berhampiran Lapangan Terbang French Valley di Riverside kira-kira 4.15 pagi.

Penumpang dan juruterbang yang kesemuanya dewasa meninggal dunia, menurut penyiasat penerbangan bagi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Elliott Simpson.

Simpson dalam sidang media berkata, jet kecil itu terhempas pada ketinggian 300 kaki dari landasan lapangan terbang selepas cuba mendarat dalam keadaan cuaca berkabus di kawasan itu.

Dalam kejadian itu, api menyambar semua bahagian kecuali ekor pesawat selepas ia terhempas, kata Simpson.

Menurutnya, pihak lembaga akan terus menyiasat nahas itu dengan laporan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama enam individu terkorban.

Pada 4 Julai, sebuah pesawat kecil dengan empat penumpang terhempas berhampiran lapangan terbang sama, mengorbankan juruterbang dan mencederakan tiga juvana.

Gambar hiasan. FOTO AFP
Gambar hiasan. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 11:11 AM