PESAWAT milik Ford yang terhempas. FOTO Reuters
PESAWAT milik Ford yang terhempas. FOTO Reuters

Los Angeles: Pelakon Harrison Ford cedera apabila pesawat vintaj diterbangnya terhempas di padang golf selepas berlepas dari Lapangan Terbang Santa Monica dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.25 petang Khamis waktu tempatan (6.25 pagi waktu Malaysia), pelakon berusia 72 tahun itu luka di kepala selepas pesawat berenjin satu miliknya terkena pokok sebelum terhempas di Padang Golf Penmar yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari lokasi nahas.

Penolong Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Patrick Butler, berkata, juruterbang pesawat itu masih sedar ketika anggotanya tiba di lokasi.

Saksi nahas menolong Ford keluar dari pesawatnya sebelum beliau diberi rawatan awal oleh anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital tempatan.

“Di hospital sekarang. Ayah ok. Cedera tetapi ok,” anak Ford, Ben, menulis di Twitter.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Polis Los Angeles berkata, punca nahas dipercayai masalah mekanikal.

Namun, kejadian ini akan disiasat oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Menurut NTSB, pesawat itu adalah jenis Ryan Aeronautical ST3KR yang diguna dalam latihan oleh Kor Udara Tentera Darat Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua.

Ford terkenal dengan lakonan dalam filem Indiana Jones dan juga Star Wars. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 10:27 AM