LOGO Meta. FOTO Reuters
LOGO Meta. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Aplikasi Threads yang didakwa hampir menyamai Twitter, dilengkapkan dengan ciri tambahan termasuk keupayaan untuk berinteraksi dengan pengguna pada aplikasi media sosial lain, lapor BBC.

Threads mempunyai kelebihan ketara kerana ia disambungkan ke Instagram dan ratusan juta pengguna sudah berada di platform itu.

Nampaknya, Threads bakal menjadi tarikan terbaharu dan alternatif kepada Twitter selain platform lain seperti Bluesky dan Mastodon.

Meta berkata, walaupun Threads menjadi aplikasi kendiri, pengguna membuat log masuk menggunakan akaun Instagram.

Nama pengguna Instagram mereka digunakan, tetapi terdapat pilihan untuk menyesuaikan profil mereka khusus untuk Threads.

Pengguna juga dapat memilih untuk mengikuti akaun sama yang mereka lakukan di Instagram.

Aplikasi ini membenarkan pengguna membuat privasi di Instagram, namun terbuka di Threads.

Threads membolehkan pengguna menyiarkan sehingga 500 aksara dan mempunyai banyak ciri yang serupa dengan Twitter.

Dengan Threads, siaran boleh dikongsi ke Instagram dan sebaliknya serta boleh menyertakan pautan, foto dan video sehingga lima minit panjangnya.

Bagaimanapun, beberapa pengguna awal pada Rabu melaporkan masalah semasa memuat naik imej.

Pengguna melihat siaran yang Meta panggil 'benang', daripada orang yang mereka ikuti serta kandungan yang disyorkan.

Mereka dapat mengawal siapa yang boleh 'menyebut' mereka dan menapis balasan kepada siaran yang mengandungi perkataan tertentu.

Nyah ikut, menyekat atau melaporkan profil lain juga boleh dilakukan dan mana-mana akaun yang disekat pengguna di Instagram, disekat secara automatik pada Threads.

Walaupun Meta menekankan hubungan dengan Instagram, media pula memfokuskan pada persamaannya dengan Twitter dengan sesetengah pelabur menyifatkan aplikasi itu sebagai 'pembunuh Twitter'.

Ketua Meta yang melancarkan aplikasi itu, Mark Zuckerberg berkata, dia meletakkan aplikasi itu sebagai saingan mesra kepada Twitter yang dibeli Elon Musk Oktober lalu.

Menurut pakar, Threads mampu menarik pengguna Twitter yang tidak berpuas hati dengan perubahan terbaru pada platform dimiliki Musk itu.

Setakat ini, aplikasi itu berjaya menarik 30 juta pengguna selepas dua hari dilancarkan sekali gus dilihat menjadi pesaing hebat kepada Twitter.

Meta berkata, pengguna juga boleh memuat turun dan memadam data Threads dengan melawati tetapan Instagram mereka.

Threads kini tersedia untuk dimuat turun di lebih 100 negara termasuk United Kingdom, namun masih belum berada di negara Kesatuan Eropah (EU) kerana kebimbangan aspek peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:30 PM