GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Ottawa: Lapan remaja perempuan didakwa atas pertuduhan membunuh selepas menikam seorang lelaki di Toronto, Kanada, kata pegawai Kanada pada Rabu.

Sarjan Detektif Polis, Terry Browne ketika sidang media memaklumkan tertuduh berumur antara 13 hingga 16 tahun menyerang lelaki berusia 59 tahun di pusat bandar Toronto sejurus selepas tengah malam Ahad.

Browne menyifatkan perbuatan itu dilakukan sekumpulan individu, dan difahamkan tertuduh berhubung dengan mangsa melalui media sosial.

"Kami tidak tahu bagaimana atau mengapa mereka bertemu pada petang itu di pusat bandar Toronto," kata Browne.

Lapan tertuduh itu ditahan di kawasan sekitar kejadian sejurus selepas serangan itu dan beberapa senjata dirampas.

Tambah Browne, polis percaya mereka terbabit dalam satu lagi pertengkaran ganas sebelum pembunuhan itu.

Mangsa sempat menerima rawatan daripada pasukan perubatan tetapi disahkan meninggal dunia di hospital, tidak lama kemudian.

Lelaki itu menetap di pusat perlindungan Toronto untuk gelandangan tetapi terus mendapat sokongan keluarga, kata Browne.

Menurut statistik kerajaan, kanak-kanak perempuan secara amnya menyumbang kepada jenayah di Kanada.

Kanak-kanak lelaki dua kali lebih berkemungkinan terbabit dalam tingkah laku ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 10:40 AM