ZAK Brown
ZAK Brown
Reuters

Woking (England): Bos McLaren, Zak Brown menyokong usaha Formula Satu (F1) menggunakan ‘Kanak-kanak Litar’ menggantikan kelibat model wanita yang dilihat langkah positif menarik minat lebih ramai golongan muda meminati sukan itu.

Bermula musim ini, F1 membariskan kanak-kanak di sebelah pemandu pada majlis perbarisan di grid perlumbaan.

Barisan Kanak-Kanak Litar itu dipilih oleh pasukan masing-masing berdasarkan merit tertentu ataupun dari kalangan pelumba cilik dari siri perlumbaan peringkat akar umbi.

Minggu lalu, penganjur F1 mengumumkan bakal memansuhkan kehadiran ‘Gadis Litar’ yang mencetuskan pelbagai reaksi susulan ia menjadi penyeri tradisi sejak berdekad lamanya.

“Saya fikir penampilan ‘Kanak-kanak Litar’ sangat bagus,” kata Brown, yang juga pakar bidang pemasaran sebelum menjadi Pengarah Perlumbaan McLaren.

“Sebelum ini saya peminat tegar bola lisut dan pernah menjadi pemukul bola,” katanya kepada pemberita yang melawat kilang McLaren di sini semalam.

Sambil mengimbas zaman remajanya, Brown mengakui teruja apabila memberitahu rakan-rakan sebaya mengenai kemunculannya di kaca televisyen ketika itu.

“Jadi saya fikir ‘Kanak-kanak Litar’ sekali lagi akan membangkitkan keseronokan sama, penuh tenaga, bahan perbualan, peminat muda, jadi bahan bualan di sekolah....ia memang idea yang sangat bagus.”

Brown berkata selama ini dia tidak terfikir pun mengenai kehadiran model jelita berkenaan disebabkan terlalu memikirkan tekanan terhadap perlumbaan itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:59 AM