Sydney: Penyanyi R&B Chris Brown (gambar) mungkin tidak dibenarkan visa untuk ke Australia bagi persembahan konsert disebabkan rekod jenayahnya bagi kesalahan keganasan rumah tangga terhadap bekas kekasih, Rihanna.

Ini berikutan pendedahan Perdana Menteri Malcolm Turnbull mengenai perancangan mengakhiri masalah keganasan rumah tangga di negara itu melalui pakej bernilai A$100 juta (RM308 juta).

Menteri Wanita yang baru dilantik Ahad lalu, Michaelia Cash berkata, kerajaan serius mempertimbangkan menolak kemasukan Brown ke negara itu disebabkan sabitannya pada 2009.

Brown yang memenangi anugerah Grammy pada 2012 bagi album R&B terbaik dijadualkan mengadakan beberapa siri konsert Disember ini, tetapi ditentang kumpulan aktivis GetUp.

Brown dilarang memasuki beberapa negara lain termasuk Britain dan Kanada.

“Ini sesuatu yang penting untuk difahami. Jika anda melakukan keganasan rumah tangga dan ingin mengembara keliling dunia, percayalah ada negara yang tidak akan menerima anda,” kata Michaelia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:34 AM