DR Thomas Burchard. FOTO Agensi
DR Thomas Burchard. FOTO Agensi
BEKAS model Playboy didakwa membunuh seorang doktor berdepan hukuman penjara 25 tahun. FOTO Agensi
BEKAS model Playboy didakwa membunuh seorang doktor berdepan hukuman penjara 25 tahun. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Bekas model Playboy didakwa membunuh seorang doktor berdepan hukuman penjara 25 tahun.

Daily Star melaporkan, Kelsey Turner, 25, mengemukakan rayuan pada 9 November lalu dan tidak mengaku bersalah atas jenayah itu.

Namun dia berpotensi menghadapi 10 hingga 25 tahun penjara kerana terdapat cukup bukti untuk mensabitkannya, lapor saluran televisyen Undang-undang dan Jenayah Dan Abrams.

Turner ditahan pada 21 Mac 2019 di Stockton, California dan dituduh membunuh pakar psikiatri Dr Thomas Burchard, 71, selepas mayatnya ditemui reput di dalam bagasi sebuah kereta yang ditinggalkan.

Mayat itu ditemui apabila seorang pemandu ternampak kenderaan yang ditinggalkan di tenggara Nevada, Amerika Syarikat dan memberitahu polis bahawa kereta itu mempunyai kesan dibaling batu di tingkap.

Pegawai penguatkuasa undang-undang mendakwa Burchard dipukul hingga mati menggunakan alat tumpul.

Bekas teman lelaki Turner, Jon Kennison juga ditangkap dan mengaku bersalah atas pembunuhan dan konspirasi dalam kes itu dan dijatuhkan hukuman 18 hingga 45 tahun.

Bekas rakan sebilik mereka, Diana Pena juga mengaku bersalah pembunuhan itu.

Burchard dan Turner mengenali satu sama lain kira-kira dua tahun sebelum kejadian itu, menurut pihak berkuasa.

Pendakwa Raya percaya, kedua-duanya mempunyai hubungan intim pada masa lalu.

Siasatan juga mendapati pakar psikiatri kanak-kanak itu membayar sewa dan bil Turner sebanyak AS$3,200 (RM14,856) selama hampir setahun namun berhenti membayar pada 2018 sebelum wanita itu diusir bersama dua anak dan ibunya.

Turner dan teman lelakinya dituduh memukul Burchard sehingga mati dengan kayu besbol sebelum memasukkan mayatnya ke dalam bagasi kereta milik wanita itu beberapa hari sebelum dia ditemui.

Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 12:07 PM