BAYI mangsa kini dijaga teman lelaki Savanna. - Daily Mail
BAYI mangsa kini dijaga teman lelaki Savanna. - Daily Mail
Daily Mail

Dakota Utara (Amerika Syarikat): Seorang wanita mengaku bersalah membunuh dan mengerat perut jirannya yang hamil untuk mengambil bayi dikandung mangsa.

Brooke Crews, berdepan hukuman penjara seumur hidup kerana merancang menculik, membunuh dan menipu pegawai undang-undang berhubung kematian Savanna Greywind, 22.

Teman lelakinya, William Hoehn, 32, mengaku tidak bersalah terhadap jenayah itu dan dijangka dibicarakan Mac depan.

Peguam Brooke, Steven Mottinger berkata, pengakuan bersalah itu sedikit sebanyak membantu anak guamnya merayu dikurangkan hukuman maksimum penjara seumur hidup tanpa parol.

Savanna hamil lapan bulan apabila perutnya dikerat dalam kejadian 19 Ogos lalu sebelum mayatnya yang dibalut plastik ditemui dua pemain kayak di Red River pada 27 Ogos.

Brooke tidak menceritakan dengan terperinci cara Savanna dibunuh, namun Ketua Polis Fargo, Dave Todd berkata, kematiannya amat kejam.

Tertuduh pada awalnya mendakwa Savanna menyerahkan bayi perempuan berkenaan kepadanya, tetapi Hoehn menceritakan sebaliknya.

Menurut Hoehn, dia pulang ke rumah pada 19 Ogos lalu dan mendapati Brooke membersihkan kesan darah di bilik air mereka.

Brooke kemudian menunjukkan bayi berkenaan kepadanya dan berkata: “Ini bayi kita. Ini keluarga kita.”

Bayi itu kini dalam jagaan bapa kandungnya yang juga teman lelaki mangsa, Ashton Matheny.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:16 AM