Indiana (Pennsylvania): Seorang lelaki yang sering membuat panggilan mengarut termasuk panggilan palsu, membuat panggilan kecemasan ke talian 911 baru-baru ini mengadu sakit dada sedangkan dia bertujuan meminta anggota paramedik membantunya membaiki pendingin hawa.

Travis Turner, 26, didakwa di mahkamah semalam, atas tuduhan mengganggu tugas pasukan kecemasan serta kelakuan tidak senonoh.

Menurut polis, lelaki itu menghubungi talian 911 daerah Indiana serta talian polis sebanyak 63 kali dalam tempoh tiga tahun lalu dengan membuat aduan yang dianggap gangguan kepada jabatan itu.

Disember lalu, polis mendakwanya tetapi tuduhan terhadapnya digugurkan selepas dia diberi amaran.

Namun, Turner menghubungi lagi 911 pada Ahad lalu, dan apabila ambulans sampai ke rumahnya, dia memberitahu tiada masalah kesihatan sebaliknya memerlukan bantuan membaiki pendingin hawa.

Pihak berkuasa juga memotong talian telefon kediaman Turner semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:16 PM