Connerjack Oswalt
Connerjack Oswalt
Agensi

Washington: Seorang remaja autistik yang hilang dari rumah keluarganya tiga tahun lalu di California ditemukan di Utah, Amerika Syarikat (AS).

Penemuan Connerjack Oswalt, 19, ternyata melegakan ibu bapanya yang sebelum ini beranggapan tidak mempunyai harapan menemui anak lelaki mereka itu semula.

Remaja itu ditemukan dalam keadaan menggigil kesejukan oleh polis.

Terdahulu, polis terserempak dengan remaja itu yang sedang tidur di sebuah kedai serbaneka di Summit Country.

Lokasi itu terkenal sebagai destinasi pelancongan sukan ski, kata jurucakap polis, Justin Martinez.

Oswalt dipercayai tinggal di kaki lima bandar itu, sejak dua minggu sebelum ditemui.

Keluarganya sudah berusaha mencari remaja itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Mereka melakukannya dengan pelbagai kaedah termasuk mengedarkan risalah, media sosial dan mencari petunjuk baharu, namun sia-sia.

Mereka juga berpindah kembali ke bandar kelahirannya, Idaho Falls, dengan harapan remaja itu akan kembali ke sana.

"Apa saja petunjuk mengenai Oswalt menyebabkan kami akan meneruskan pencarian.

"Kehilangannya ini adalah mimpi buruk," kata bapa tirinya, Gerald Flint.

Oswalt disahkan autisme dan bermasalah mental, berusia 17 tahun ketika dia menghilangkan diri dari rumah keluarganya.

Ketika kejadian, ibunya, Suzanne Flint sedang memasak quesadilla iaitu sejenis masakan Mexico.

Anak lelakinya itu 'lesap' ketika mereka mahu makan tengah hari.

"Saya tidak pernah berhenti mencarinya dan tiada hari tanpa saya berusaha untuk menemuinya semula.

"Kehilangannya ini juga dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Keluarganya hanya mengetahui penemuannya selepas dimaklumkan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:00 AM