Wan Syazlin dilaporkan hilang sejak 5 Februari lalu. FOTO Rosli Ilham
Wan Syazlin dilaporkan hilang sejak 5 Februari lalu. FOTO Rosli Ilham
Asrol Awang


Kuantan: Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang dilaporkan hilang sejak 5 Februari lalu dikatakan tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal peribadi dan pelajaran.

Justeru, kemungkinan penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) itu membuat keputusan melarikan diri dan tidak pulang ke rumah keluarganya di Dungun, Terengganu, mustahil kerana tiada perubahan ketara sebelum dilaporkan hilang sejak 19 hari lalu.

Menurut sumber, keputusan peperiksaan Wan Syazlin juga baik dan tidak mungkin mendorong kepada keputusan menghilangkan diri.]

"Wan Syazlin adalah seorang yang pendiam dan tidak mempunyai rakan rapat, dia memang mengenali semua dalam kelas tetapi tidak terlalu rapat. Kehilangannya amat mengejutkan dan diharapkan Wan Syazlin dapat ditemui segera dan selamat," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Wan Syazlin yang juga pelajar semester dua Diploma Perakaunan di POLISAS, sepatutnya pulang bercuti sempena cuti panjang Tahun Baru Cina pada 7 Februari lalu, selepas pihak pengurusan politeknik memberikan cuti 10 hari kepada semua pelajar sempena perayaan itu.

Mengikut laporan media, Wan Syazlin memberitahu keluarganya dia akan menaiki bas pada 7 Februari namun pelajar berkenan tidak muncul sehingga semalam.

Keluarganya ada mencarinya di POLISAS dan berdasarkan rekod buku catatan, Wan Syazlin didapati sudah meninggalkan pusat pengajian itu pada petang 5 Februari lalu dan dilihat kali terakhir di perhentian bas berdekatan pada hari sama.

Usaha mencari Wan Syazlin giat dijalankan sebaik laporan dibuat pada 8 Februari lalu di Balai Polis Paka, Terengganu, dan hampir 100 orang antaranya rakan rapatnya disoal siasat oleh polis.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan dan Disiplin Jabatan Hal Ehwal Pelajar POLISAS Zulkifli Mat Nasir berkata, pihaknya mewujudkan sebuah pusat panggilan khas untuk individu menyalurkan maklumat berkaitan Wan Syazlin di talian 09 -5655378.

"Pusat panggilan itu diwujudkan selepas mesyuarat diadakan semalam (kelmarin) bagi membantu melancarkan operasi mencari Wan Syazlin yang dilakukan polis pada masa ini," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 8:06 PM