ANTARA suspek pembunuhan Presiden Haiti Jovenel Moise. FOTO EPA
ANTARA suspek pembunuhan Presiden Haiti Jovenel Moise. FOTO EPA
AFP

Port-Au-Prince: Sekurang-kurangnya 28 orang disyaki terbabit pembunuhan Presiden Jovenel Moise, kata polis Haiti pada Khamis.

Menurut polis, 26 daripadanya adalah warga Colombia, manakala dua lagi adalah warga Amerika Syarikat (AS) yang berasal dari Haiti.

"Kita sudah menahan 15 warga Colombia dan dua rakyat AS yang berasal dari Haiti. Tiga warga Colombia terbunuh, manakala lapan lagi masih bebas," kata Ketua Pengarah Polis Kebangsaan, Leon Charles pada sidang media.

Media sebelum ini melaporkan Moise maut di kediaman peribadinya di Port-au-Prince selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali yang bertutur Bahasa Sepanyol.

Isterinya Martine Moise, yang turut cedera kini dirawat di sebuah hospital.

Martine sedang menerima rawatan dan anak-anaknya selamat.

Susulan kejadian, Lapangan terbang antarabangsa di Port-Au-Prince dan sempadan negara turut diarahkan ditutup.

Pembunuhan itu dikecam pelbagai pemimpin negara Amerika Latin, termasuk Republik Dominica, Mexico, Colombia, Bolivia, Peru, Ecuador dan Argentina.

Haiti satu daripada negara termiskin di hemisfera Barat dihuni 12 juta penduduk dan bergelut dengan pergolakan politik selain pernah dilanda gempa bumi dahsyat pada 2010.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sementara Haiti, Claude Joseph, pada Rabu mengisytiharkan darurat susulan insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 8:58 AM