FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Buenos Aires: Kerajaan Argentina mengeluarkan senarai 70 individu berpengaruh yang menerima suntikan vaksin Covid-19 lebih awal daripada orang lain di Hospital Posadas Buenos Aires, lapor agensi berita Anadolu .

Keputusan untuk menyiarkan senarai nama individu berkenaan selepas mesyuarat Ketua Kabinet, Santiago Cafiero dan Menteri Kesihatan, Carla Vizzotti.

Senarai itu termasuk individu berprofil tinggi termasuk bekas Presiden Eduardo Duhalde dan isterinya, Hilda Gonzalez dan anak mereka.

Selain itu, beberapa ahli kesatuan sekerja, menteri dan setiausaha.

Mereka dilaporkan menerima vaksin Covid-19 buatan Rusia, Sputnik V, lebih awal daripada jadual rasmi.

Argentina memberi keutamaan pemvaksinan kepada petugas barisan hadapan dan golongan tua.

Berdasarkan laporan media tempatan, bekas Menteri Kesihatan Gines Gonzalez Garcia mengadakan pemvaksinan 'VIP' secara eksklusif itu untuk memberi keutamaan kepada individu tertentu di negara berkenaan.

Pada 19 Februari, skandal itu terbongkar selepas seorang wartawan, Horacio Verbitsky, mengesahkan menerima suntikan vaksin itu selepas bercakap dengan 'teman lamanya', Gonzalez Garcia.

Presiden Argentina Alberto Fernandez kemudian meminta Gonzalez Garcia untuk meletak jawatan susulan laporan beliau menawarkan 'pemvaksinan VIP', akses vaksin itu kepada wartawan, yang tidak mendaftar untuk menerimanya secara dalam talian, seperti penduduk negara lain.

Pada Sabtu, Vizzotti menggantikan tempat Gonzalez Garcia.

Susulan skandal itu, media tempatan berkata, presiden mengarahkan Cafiero dan Vizzotti mengeluarkan senarai individu yang menerima vaksin berkenaan.

Argentina, dengan populasi lebih 45 juta orang, setakat ini merekodkan lebih dua juta kes positif dan lebih 51,000 kematian, menurut data Johns Hopkins University.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:00 AM