GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Washington: Ratusan kanak-kanak yang menghadiri perkhemahan musim panas di Georgia, Amerika Syarikat (AS) bulan lalu dijangkiti Covid-19.

Ia sekali gus menambah bukti bahawa kanak-kanak terdedah kepada jangkitan dan boleh menjadi vektor penularan, kata pihak berkuasa kesihatan.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), sekurang-kurangnya 260 daripada 597 individu positif wabak, namun angka sebenar mungkin bertambah memandangkan keputusan ujian setakat ini hanya membabitkan 58 peratus kanak-kanak.

Laporan menyebut pengurusan kem mengabaikan nasihat CDC apabila semua peserta memakai pelitup muka kain, yang mana ia hanya untuk staf.

Namun, ia mematuhi perintah eksekutif negeri yang mewajibkan semua peserta menunjukkan bukti ujian Covid-19 negatif yang diambil 12 hari atau kurang sebelum mereka tiba.

Langkah pencegahan lain adalah penjarakan fizikal, kekerapan disinfeksi selain, meletakkan kanak-kanak dalam kumpulan kecil.

Kem itu menganjurkan orientasi yang membabitkan 138 pelatih dan 120 kakitangan pada 17 Jun hingga 20 Jun lalu, kebanyakannya berusia 21 tahun ke bawah.

Pelatih pulang selepas itu, namun kakitangan kekal untuk kem dibuka secara rasminya pada 21 Jun yang disertai 363 peserta berusia enam tahun hingga 19 tahun, termasuk tiga lagi kakitangan senior.

Peserta perkhemahan terbabit pelbagai aktiviti termasuk nyanyian dan sorakan yang kuat setiap hari, menurut laporan itu. Mereka tidur di kabin sehingga 26 orang.

Pada 23 Jun, kakitangan remaja meninggalkan kem selepas mula menunjukkan gejala awal dan diuji positif Covid-19 pada 24 Jun, yang membawa kepada semua peserta dihantar pulang, manakala kem tutup pada 27 Jun.

Siasatan pihak berkuasa kesihatan pada 25 Jun mendapati 260 daripada 344 orang yang menjalani ujian telah positif koronavirus dan 74 peratus menunjukkan gejala ringan seperti demam, sakit kepala dan sakit tekak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 12:12 PM