BENDERA China di bangunan konsulat China di Houston, Amerika Syarikat. FOTO AFP
BENDERA China di bangunan konsulat China di Houston, Amerika Syarikat. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Presiden Donald Trump tidak menolak kemungkinan akan menutup beberapa lagi misi diplomatik China di Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Sputnik.

"Setakat ini, untuk menutup beberapa lagi kedutaan, kemungkinan itu ada," kata Trump di Rumah Putih pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan, sama ada terdapat perancangan untuk menutup lebih banyak misi diplomatik China di negara itu.

Terdahulu, Jabatan Luar Negeri AS mengesahkan pihaknya pada Jumaat lalu mengarahkan China menutup konsulatnya di Houston, Texas, atas tuduhan terbabit dalam operasi pengintipan dan menyebarkan pengaruh secara besar-besaran di AS.

Kedutaan China di Washington menerusi satu kenyataan berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya arahan itu dan memberi amaran Beijing akan bertindak balas terhadap apa yang digelarnya sebagai "provokasi politik."

Beijing menyangkal tuduhan itu dan mengkritik AS melakukan banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap warga China sekali gus menyebabkan kedutaan di Washington menerima banyak ancaman.

Pada sidang media sama, Trump mempersoalkan mengapa kakitangan konsulat China di Houston membakar dokumen di perkarangan misi diplomatik, selepas diarah ditutup.

Kementerian Luar China dalam jawapan balas mengenai insiden membakar dokumen itu, hanya mengatakan "konsulat beroperasi seperti biasa."

Berita berkaitan

Tutup konsulat: China anggap 'provokasi politik'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 12:42 PM