Agensi

Surabaya: Dua jenazah di sini tertukar sehingga menyebabkan upacara pengebumian tertunda.

Menerusi laporan Tribunews.com, jenazah pesakit dalam pengawasan Covid-19 (PDP) itu tertukar di tanah perkuburan di daerah Pagesangan, Jambangan.

Berdasarkan video yang tular menerusi WhatsApp, upacara pengebumian dibatalkan selepas keluarga menyedari jenazah itu bukan ahli keluarga mereka.

Ia menyebabkan keranda dimasukkan semula ke dalam van oleh pasukan kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan (PPE).

Anggota keluarga si mati, Amir Mahmud berkata, sepatutnya jenazah yang diterima adalah sepupu lelakinya yang meninggal dunia akibat sakit jantung.

Namun, katanya, pihak hospital menghantar jenazah seorang wanita di tanah perkuburan berkenaan.

"Seharusnya yang dikebumikan di sini adalah lelaki tapi surat mati yang kami terima jenazah seorang wanita," katanya.

Menurutnya, pihak keluarga mengetahui jenazah itu tertukar saat pasukan kesihatan memberikan surat pengesahan kematian kepada keluarga ketika jenazah mahu dikebumikan.

Sementara itu, Pengarah Rumah Sakit Islam Surabaya, Samsul Arifin berkata, pihaknya sudah memohon maaf atas kesilapan itu.

Katanya, siasatan mendapati pasukan yang menguruskan jenazah tidak mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) hingga berlakunya kesilapan.

"Mungkin disebabkan terburu-buru, ada beberapa prosedur tidak dipatuhi," katanya.

Ketika ini, mana-mana jenazah di Indonesia akan dikebumikan mengikut SOP pengebumian individu yang sudah dijangkiti Covid-19.

Ia memandangkan ada pesakit yang disyaki dijangkiti virus itu, tetapi pengesahan mengenainya hanya diperoleh selepas individu berkenaan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:01 AM