WANITA memakai penutup hidung dan mulut berjalan di dalam pusat beli-belah di Beijing. FOTO AFP
WANITA memakai penutup hidung dan mulut berjalan di dalam pusat beli-belah di Beijing. FOTO AFP
Reuters

BEIJING: Sebuah farmasi di sini, didenda 3 juta yuan (kira-kira RM1.7 juta) kerana menaikkan harga penutup mulut dan hidung enam kali ganda daripada harga produk sama dijual dalam talian.

Ia susulan penularan wabak koronavirus baharu, di negara berkenaan.

Agensi berkaitan sudah mengeluarkan notis penalti pentadbiran kepada Jimin Kangtai Pharmacy di sini.

Difahamkan, farmasi itu menaikkan harga penutup mulut dan hidung jenis N95.

Ia dijual pada harga runcit 850 yuan (kira-kira RM500) sekotak. Produk sama dijual dalam talian ditawarkan pada harga hanya 143 yuan (kira-kira RM84) sekotak.

Pihak berkuasa Beijing sebelum ini meningkatkan pemantauan terhadap harga alat perlindungan dan menghukum pihak yang sengaja menyembunyikan produk berkenaan.

Selain itu, tindakan juga diambil kepada pihak yang menyebarkan berita palsu berhubung penularan wabak berkenaan.

Setakat pagi ini, 132 orang sudah disahkan meninggal dunia di China akibat koronavirus baharu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:21 AM