ANGGOTA polis memeriksa lelaki   seterika penutup mulut  dikitar semula di lantai dekat dengan haiwan peliharaan.
ANGGOTA polis memeriksa lelaki seterika penutup mulut dikitar semula di lantai dekat dengan haiwan peliharaan.
Agensi

BANGKOK: Sekumpulan individu di Thailand dilaporkan mengaut keuntungan atas angin hasil kegiatan menjual penutup mulut dan hidung kitar semula.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap penutup mulut dan hidung sejak penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Daily Mail melaporkan kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Saraburi di timur laut Bangkok, Isnin lalu.

Ribuan penutup mulut dan hidung dirampas dalam serbuan berkenaan dan dibawa ke jabatan kesihatan tempatan untuk siasatan lanjut.

Menurut laporan portal Coconuts, enam pekerja dipercayai terbabit dalam kegiatan mengitar semula penutup mulut dan hidung itu.

Ia dilakukan dengan cara mencuci penutup mulut dan hidung itu di dalam mesin basuh dan ia digosok dengan seterika hingga kelihatan seperti baru.

Barangan itu kemudian dijual semula.

Polis Viharn Daeng, Kolonel Pairot Trisophan berkata, seorang pekerja memberitahu pihak berkuasa yang bekalan penutup mulut dan hidung itu diperoleh daripada pengedar tidak dikenal pasti.

Katanya, ia dijual dengan harga 1 baht (kira-kira 13 sen) dan boleh terjual sebanyak 300 hingga 400 unit setiap hari.

“Polis sedang mengesan pemilik rumah berkenaan iaitu Jintana Namwichai yang berusia 47 tahun,” katanya.

Sehingga kini, lebih 92,000 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan kira-kira 3,100 maut akibat wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:30 AM