ANTARA pesakit yang menerima rawatan di hospital Jember. - Agensi
ANTARA pesakit yang menerima rawatan di hospital Jember. - Agensi
Agensi

RATUSAN warga Jember di Jawa Timur mengalami sesak nafas, pening dan muntah selepas memakan ikan tongkol selepas sambutan tahun baru, Rabu lalu.

Berdasarkan maklumat pihak kesihatan Jember, seramai 119 orang dikejarkan ke hospital selepas disyaki mengalami keracunan makanan.

Detik News melaporkan, kes keracunan makanan itu berlaku di 21 daerah sekitar Jember dan Hospital Arjasa antara menjadi tumpuan pesakit bagi mendapatkan rawatan.

“Sembilan pesakit datang untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami sesak nafas, pening dan muntah selepas sambutan tahun baru,” kata jururawat Hospital Arjasa, Rofi’i.

Daripada jumlah yang dirawat itu, dua daripadanya dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan intensif dan keadaan kesihatannya disahkan baik.

Menurut Rofi’i, pesakit yang dirawat menunjukkan perubahan positif apabila simptom yang dialami sebelum ini semakin berkurangan dan pasukan perubatan akan melawat mereka untuk rawatan susulan.

“Pasukan perubatan sudah mengambil spesimen ikan tongkol untuk ujian bagi mengetahui punca keracunan sebelum laporan dihantar ke pihak berkuasa kesihatan Jember,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:01 AM