Pelajar terjejas mendapatkan rawatan kecemasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Pelajar terjejas mendapatkan rawatan kecemasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


SIMPTOM pencemaran akibat pembuangan sisa kimia Sungai Kim Kim berbeza pada hari ketujuh hari ini apabila ramai murid sekolah mengalami sesak nafas, pening, loya dan muntah.

Berbeza dengan gelombang pertama hingga kedua apabila mangsa terhidu bau pencemaran gas kimia sebelum mengalami simptom keracunan, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Scientex, Pasir Gudang mengalami sesak nafas, pening, loya dan muntah.

Tanpa menghidu sebarang gas beracun dipercayai bawaan angin, seorang demi seorang pelajar sesak nafas, pening, loya dan muntah sebelum dikejarkan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dekat sini.

Pelajar Nur Batrisyah Zainal, 14, berkata, badannya kebas secara tiba-tiba sebelum rasa loya ketika waktu rehat di sekolahnya.

“Saya tak tahu kenapa gejala itu berlaku tetapi tangan hingga ke bahagian muka berasa kebas secara tiba-tiba selain sesak nafas.

“Saya kemudian bergegas ke pejabat sekolah untuk menghubungi kedua ibu bapa,” katanya ditemui selepas mendapatkan rawatan di dewan itu hari ini.

Katanya, dia bersama rakan-rakan yang mengalami tanda itu terus dibawa ambulans bagi mendapatkan rawatan segera.

“Sebaik dibawa ke dewan, kami dirawat petugas kesihatan dan mereka menenangkan kami sebelum kesihatan bertambah baik.

“Pada jam 12 tengah hari kami diberikan pil muntah dan loya oleh pasukan perubatan dan dibenarkan pulang,” katanya.

Turut berkongsi situasi sama rakan sekolahnya, Nor Syakinah Zainizam, 14, yang loya dan pening pada waktu rehat.

“Saya tidak hidu apa-apa tetapi kepala saya tiba-tiba pening dan tekak rasa loya.

“Ketika itu guru sekolah memaklumkan supaya memberitahu kejadian kepada guru untuk dimaklumkan kepada ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menaiki ambulans bersama lima rakannya untuk mendapatkan rawatan akibat pening dan sesak nafas.

Katanya, dia dan rakan-rakan ditenangkan pegawai kesihatan bertugas yang memberi rawatan kecemasan.

“Saya dibekalkan ubat muntah dan loya dan dibenarkan pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari selepas tahap kesihatan memuaskan,” katanya.

Sementara itu pemerhatian mendapati, seorang petugas kesihatan memberikan kata-kata nasihat dan semangat kepada semua mangsa membabitkan pelajar sekolah itu.

Pelajar sekolah juga diminta makan dan minum bekalan yang diberikan kepada mereka.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 1:27 PM