ISRAEL Folau. FOTO Agensi
ISRAEL Folau. FOTO Agensi
AFP

SYDNEY: Bintang ragbi Israel Folau mencetuskan kemarahan apabila menyatakan kebakaran hutan dan kemarau yang melanda Australia sebagai ‘balasan tuhan’ kerana pembenaran perkahwinan sejenis dan menggugurkan kandungan.

Folau penganut Kristian yang juga bekas pemain Wallabies, membuat kenyataan itu ketika khutbah di sebuah gereja di Sydney, semalam.

Dia mendakwa kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan yang menyelubungi New South Wales serta Queensland yang mengakibatkan enam kematian dan kemusnahan ratusan kediaman, bukan satu kebetulan.

“Saya meneliti apa yang berlaku di Australia sejak beberapa minggu lalu, bencana alam dalam bentuk kebakaran hutan dan kemarau. Lihatlah betapa cepatnya ia merebak. Adakah kamu rasa ini sekadar kebetulan?

“Tuhan memerintahkan hubungan yang dibenarkan adalah antara perempuan dan lelaki yang berkahwin secara sah. Manakala perbuatan sengaja menggugurkan kandungan sama dengan membunuh bayi yang belum dilahirkan.

“Tuhan memberi petunjuk kepada kamu semua. Australia perlu insaf, ubah semula undang-undang yang diluluskan untuk mematuhi ajaran tuhan.

“Kebakaran yang kita lihat ini hanya sedikit daripada balasan tuhan yang pasti lebih besar lagi,” katanya dalam khutbah dimuat naik ke laman Facebook gerejanya.

Perkahwinan sejenis dibenarkan mengikut undang-undang Australia susulan referendum yang diadakan pada 2017, manakala New South Wales menjadi negeri terakhir membenarkan pengguguran kandungan pada September lalu.

Komen Folau itu dikecam sebagai ‘amat tidak sensitif’ oleh Perdana Menteri Scott Morrison yang juga beragama Kristian.

“Walaupun dia bebas bersuara, dia sepatutnya berfikir mengenai mereka yang menjadi mangsa kebakaran hutan ini,” katanya.

Folau juga kini dalam proses menyaman Rugby Australia selepas dipecat pada Mei lalu kerana memuat naik di Instagram bahawa ‘neraka menanti’ orang gay dan golongan yang melakukan dosa.

Dalam kes itu, dia menuntut ganti rugi A$10 juta (RM28 juta) kerana mendakwa pemecatannya atas dasar keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:07 PM