DENDA yang dikenakan antara 50 riyal (RM55.80) hingga 6,000 riyal (RM6,705).
DENDA yang dikenakan antara 50 riyal (RM55.80) hingga 6,000 riyal (RM6,705).
Reuters

RIYADH: Arab Saudi bakal mengenakan denda dengan 19 kesalahan berkaitan adab sopan seperti berpakaian tidak senonoh dan bercumbu di khalayak ramai susulan negara itu terbuka kepada pelancong asing.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri itu mengiringi pelancaran visa yang membenarkan pelancong dari 49 negara berkenaan. Sehingga kini, kebanyakan pelancong adalah umat Islam dan ahli perniagaan.

Pelanggaran yang disenaraikan di laman web visa baharu itu termasuklah membuang sampah, meludah, memotong barisan, mengambil gambar dan video tanpa keizinan dan bermain muzik pada waktu solat.

Denda yang dikenakan antara 50 riyal (RM55.80) hingga 6,000 riyal (RM6,705).

“Peraturan itu bertujuan memastikan pelawat dan pelancong di Arab Saudi tahu akan undang-undang berkaitan adab sopan di tempat awam agar mereka mematuhinya,” kata kenyataan media kerajaan.

Menurut kenyataan itu, polis Saudi bertanggungjawab untuk memantau kesalahan dan mengenakan denda.

Pasukan agama dikenali sebagai mutawa, digunakan untuk memastikan penduduk solat lima kali sehari dan wanita memakai tudung. Mereka turut menguatkuasakan larangan ke atas muzik, alkohol, jantina bercampur dan wanita memandu kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:12 PM