POLIS mengiringi kenderaan yang membawa mayat Mugabe ke lapangan terbang. -Foto EPA
POLIS mengiringi kenderaan yang membawa mayat Mugabe ke lapangan terbang. -Foto EPA
Reuters/AFP

SINGAPURA: Mayat bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dibawa pulang ke negara asalnya hari ini, lima hari selepas mendiang meninggal dunia di sebuah hospital di sini.

Menurut jadual yang dikeluarkan, pesawat membawa mayat Mugabe berlepas pada jam 8.50 pagi (waktu tempatan) menuju Zimbabwe.

Beberapa motosikal polis kelihatan di luar Singapore Casket, iaitu rumah pengurusan pengebumian yang menempatkan Mugabe, menandakan mayat orang kenamaan bakal meninggalkan lokasi itu.

Seorang ahli keluarga yang ditemui memberitahu Reuters, mayat Mugabe dijangka tiba di Zimbabwe pada jam 3 petang (waktu tempatan), hari ini.

Mugabe, 95, meninggal dunia pada Jumaat lalu, selepas sekian lama menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura kerana sakit.

Mendiang mendominasi politik Zimbabwe selama hampir 40 tahun, sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1980 hingga digulingkan oleh tentera pada November 2017.

Mayatnya bakal disemadikan di kampung halamannya, di Kutama, Zvimba, iaitu daerah di barat Harare, selepas anggota keluarga mendiang menolak rancangan kerajaan, yang mahu ia dikebumi di Tugu Pahlawan Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:29 AM