GRACE Mugabe (kanan) bersama suaminya, Robert Mugabe. FOTO AFP
GRACE Mugabe (kanan) bersama suaminya, Robert Mugabe. FOTO AFP
AFP

Johannesburg: Seorang model Afrika Selatan yang mendakwa diserang wanita pertama Zimbabwe, Grace Mugabe, memfailkan kes di mahkamah mencabar keputusan memberikan isteri pemimpin berkenaan kekebalan diplomatik, kata peguamnya, semalam.

Isteri Presiden Robert Mugabe itu didakwa menyerang Gabriella Engels, 20, menggunakan wayar sambungan elektrik di sebuah hotel di Johannesburg, tempat dua anak Grace menginap.

Akibat serangan itu, Gabriella mengalami luka di kepala dan dahi. Susulan itu, dia memfailkan laporan polis membabitkan tuduhan serangan jenayah terhadap Grace, 52.

Kementerian hal ehwal luar Afrika Selatan pada hujung minggu lalu berkata, Grace diberi kekebalan seterusnya membolehkannya meninggalkan negara itu.

Gabriella dan kumpulan hak asasi AfriForum, yang membantu mangsa jenayah memfailkan injunksi memohon mahkamah membatalkan keputusan menteri berkenaan.

“Menteri terbabit tersilap mentafsirkan undang-undang berkenaan dan mengguna pakai prinsip yang salah,” kata peguam AfriForum, Willie Spies.

Susulan itu, mereka memohon mengetepikan keputusan menteri terbabit, Maite Nkoana-Mashabane yang ‘mengiktiraf kekebalan dan keistimewaan’ Grace, kata dokumen mahkamah.

Mereka turut memohon keputusan memberi kekebalan diplomatik tidak menghalang pendakwaan bagi tuduhan jenayah.

Permohonan itu akan dibicarakan pada 19 September depan, kata Spies.

Grace sepatutnya melaporkan diri kepada polis berhubung kejadian itu, tetapi tidak berbuat demikian.

Susulan itu, Menteri Polis Fikile Mbalula berkata, ‘amaran berjaga-jaga’ dikeluarkan kepada polis sempadan.’

Bagaimanapun, Grace terbang keluar dari Afrika Selatan menaiki pesawat presiden sebelum waktu Subuh, Ahad lalu (waktu tempatan).

Beberapa jam kemudian, kementerian luar mengumumkan memberinya kekebalan.

Ahli Parlimen Afrika Selatan kelmarin mencemuh Timbalan Presiden Cyril Ramaphosa ketika dia menjawab soalan di Parlimen mengenai kes berkenaan.

Menurutnya, keputusan memberikan kekebalan ‘sejajar dengan peraturan kekebalan diiktiraf di peringkat antarabangsa’ dan mengakui ‘itu kali pertama kami menggunakan peruntukan berkenaan.’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:22 AM