ANGGOTA keselamatan ketika melaksanakan tugas mengeluarkan mayat di dasar laut. FOTO/AFP
ANGGOTA keselamatan ketika melaksanakan tugas mengeluarkan mayat di dasar laut. FOTO/AFP
AFP

Oxnard (Amerika Syarikat): Lapan maut manakala puluhan lagi masih hilang dan dikhuatiri mati selepas sebuah bot menyelam skuba terbakar dan karam di luar pantai California, menjelang subuh semalam.

“Empat mayat sudah dikeluarkan. Kami juga sudah mengenal pasti lokasi empat lagi mayat di dasar laut dan 26 lagi penumpang masih hilang,” kata Sherif Daerah Santa Barbara, Bill Brown dalam satu sidang akhbar.

Pasukan bomba udara, bot kecil dan Pengawal Pantai dikerah memadam kebakaran pada kapal Conception yang sedang membawa penyelam di sekitar Pulau Santa Cruz, di barat Santa Barbara, selatan California.

Api yang marak menghalang mereka untuk masuk ke dalam kapal bagi mencari mangsa yang terselamat sebelum kapal itu tenggelam, kata Pengawal Pantai.

Usaha menyelamat di sulitkan lagi dengan kabus tebal.

Menurut Kapten Pengawal Pantai, Monica Rochester, lima anak kapal Conception terjaga dan terjun ke laut ketika kejadian menjadikan jumlah keseluruhan penumpang kapal seramai 39 orang.

Lima anak kapal berkenaan diselamatkan orang ramai, kata Rochester.

Menurut Rochester, pihaknya tidak menerima panggilan kecemasan berkaitan letupan sebaliknya laporan bahawa sebuah kapal sedang terbakar.

Pengawal Pantai cuba memadamkan kebakaran beberapa kali namun ia terus marak kerana jumlah minyak di dalam bot terbabit.

Menurut pengendali Conception, Truth Aquatics di laman web rasminya, bot itu boleh membawa sehingga 6,057 liter minyak.

Bot itu juga mampu memuatkan sehingga 46 orang dan dijadual pulang pada Isnin selepas lawatan tiga hari ke beberapa lokasi menyelam di sekitar Pulau Santa Cruz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 1:53 PM