DUA buruh memerhatikan kebakaran hutan yang merebak ke ladang mereka di Mato Grosso, selatan Amazon. FOTO AFP
DUA buruh memerhatikan kebakaran hutan yang merebak ke ladang mereka di Mato Grosso, selatan Amazon. FOTO AFP
Agensi

BRASILIA: Seorang wanita orang asli dari suku kaum Pataxó menangis dengan berlatarbelakangkan hutan Amazon yang dijilat api disiarkan video yang tersebar di Internet dalam pada hutan hujan tropika terbesar dunia itu semakin musnah.

“Mereka menghapuskan sungai kami, sumber kehidupan kami dan kini hutan kami juga dibakar. Esok kami akan menyekat jalan dan saya mahu semua media melihat perkara ini.

Selama dua tahun kami berjuang memelihara hutan kami ini, namun bahlul-bahlul ini datang membakarnya sehingga musnah,” katanya dipetik Mail Online.

Sementara itu, AFP memetik penduduk di Porto Velho mendakwa melihat asap membentuk awan hitam akibat kebakaran Amazon menyelubungi bandar dengan kira-kira setengah juta penduduk itu.

“Saya risau kesihatan keluarga, terutama anak perempuan yang mempunyai masalah pernafasan,” katanya.

GAMBAR dari udara menunjukkan kemusnahan akibat kebakaran hutan Amazon. FOTO AFP
GAMBAR dari udara menunjukkan kemusnahan akibat kebakaran hutan Amazon. FOTO AFP

Minggu lalu, bandar Sao Paulo tiba-tiba gelap selama sejam mulai jam 4 petang dipercayai akibat gabungan faktor termasuk cuaca yang meniup asap dari kebakaran berkenaan sejauh ribuan kilometer dari Amazon.

Penduduk tempatan mendakwa kebakaran sengaja dimulakan pihak tidak bertanggungjawab untuk berladang ternak dalam usaha mempertingkat ekonomi Brazil di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

Bolsonaro kelmarin mengerahkan tentera ke empat negeri di Brazil untuk menangani kebakaran hutan berkenaan yang berleluasa sejak tiga minggu lalu, dengan kira-kira 44,000 askar ditugaskan dalam operasi pertama kali dilaksanakan seumpamanya, kata Menteri Pertahanan Fernando Azevedo.

WANITA  berkenaan menangis menunjukkan kebakaran Amazon di belakangnya. FOTO Agensi
WANITA berkenaan menangis menunjukkan kebakaran Amazon di belakangnya. FOTO Agensi

Krisis alam sekitar itu turut dibincangkan pemimpin dunia di persidangan G7 di Biarritz, Perancis, hujung minggu ini manakala protes bukan saja diadakan ribuan orang di Rio de Janeiro, Sao Paulo serta Brasilia, malah turut dilakukan di luar kedutaan Brazil di London, Paris serta Bogota.

Jumaat lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar mengancam menyekat perjanjian perdagangan bebas antara Kesatuan Eropah dengan negara Amerika Latin jika Bolsonaro tidak menghentikan pemusnahan Amazon.

Sementara itu, AFP melaporkan 1,663 kebakaran baru di hutan Amazon pada Khamis dan Jumaat lalu berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan Institut Kajian Antarabangsa Kebangsaan Brazil (INPE) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 7:48 AM