TENTERA Israel membidik  ke arah penduduk Palestin yang menunjukkan perasaan dekat penempatan Yahudi, Qadomem di Tebing Barat.
TENTERA Israel membidik ke arah penduduk Palestin yang menunjukkan perasaan dekat penempatan Yahudi, Qadomem di Tebing Barat.
Agensi

BAITULMAQDIS: Tentera Israel menembak mati empat lelaki Palestin di kawasan berhampiran sempadan negara itu dengan Gaza, mendakwa mereka membawa senjata api dan cuba menyerang tentera, semalam.

Menurut kenyataan tentera Israel, empat lelaki itu membawa raifal AK-47, roket anti-kereta kebal dan bom tangan dengan satu dilontar ke arah tentera Zionis.

Menurut AFP, tentera Israel melepaskan tembakan ketika seorang daripada mereka memanjat pagar sempadan dan membaling bom tangan ke arah askar.

Setakat ini, tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa Palestin di Gaza atau daripada kumpulan bersenjata Palestin.

Reuters melaporkan, jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, berkata pihaknya berusaha memastikan motif kumpulan lelaki terbabit.

Menurutnya, mereka berpakaian seragam yang tidak biasa dilihat sebelum ini.

Gaza ditadbir Hamas yang tiga kali berperang dengan Israel dan menurut Conricus, Hamas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang keganasan dari Gaza.

Di Gaza, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum, yang enggan mengulas mengenai kejadian itu, berkata: “Ia adalah luahan kemarahan terhadap jenayah penjajahan di Baitulmaqdis dan tindakan kejam mengepung Gaza yang berterusan.”

Israel mengundurkan tenteranya dari Gaza pada 2005 namun memencil wilayah itu dengn membina tembok serta mengenakan sekatan ekonomi dan perjalanan.

Sekurang-kurangnya 301 penduduk Palestin dibunuh askar Israel di Gaza atau di kawasan sempadan sejak tunjuk perasaan bermula pada Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 10:00 AM