ORANG ramai cuba memadam kebakaran di Ashkelon, selatan Israel, susulan serangan roket dilancarkan dari Gaza. FOTO  Reuters
ORANG ramai cuba memadam kebakaran di Ashkelon, selatan Israel, susulan serangan roket dilancarkan dari Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Lebih 100 tebusan termasuk wanita dan kanak-kanak Israel, dipercayai mungkin sudah dibawa masuk ke Gaza oleh pejuang Hamas, menyukarkan mana-mana operasi ketenteraan zionis Israel untuk membebaskan mereka.

The Guardian melaporkan, di tengah-tengah imej mengejutkan menunjukkan tentera Israel dan orang awam termasuk ada berlumuran darah, yang lain ditutup kepala dan tangan diikat lalu dibawa pergi oleh pejuang Hamas, dengan lokasi dan nasib tawanan menjadi satu isu paling mendesak bagi tentera.

Sementara itu, jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Kolonel Jonathan Conricus, hanya berkata, sebilangan besar' orang awam dan tentera Israel menjadi tebusan, namun jumlah itu dipercayai berpuluh-puluh, dengan beberapa media Israel membuat spekulasi bahawa lebih daripada 100 orang sudah dijadikan tebusan.

Conricus berkata, beberapa tebusan masih hidup, manakala yang lain dianggap mati, sejajar dengan dakwaan amalan pejuang Gaza mengambil jenazah manusia untuk ditukar dengan tahanan Palestin di penjara Israel.

Pegawai di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sedang menyiasat dengan segera dakwaan bahawa beberapa rakyat AS dan seorang warga UK mungkin ditangkap.

Menurut laporan, sementara kebanyakan tebusan diambil oleh kumpulan bersenjata Palestin, beberapa orang awam Palestin yang juga memasuki Israel mungkin turut mengambil tawanan.

Video yang beredar dalam talian kelihatan menunjukkan rakyat Israel di tangan pejuang Hamas semasa mereka menyerang komuniti di selatan Israel dan kemudian di lokasi di Gaza, dengan satu video geolokasi menunjukkan sebuah trak dipandu melalui orang ramai di Semenanjung Gaza dengan tebusan Israel.

Pegawai IDF sudah mengumumkan bahawa mereka sedang menyusun 'gambar situasi' untuk mengesan tawanan sama ada tebusan membabitkan tentera dan orang awam Israel.

Reuters dalam laporannya dipetik berkata, Israel belum mengeluarkan angka rasmi tetapi medianya berkata sekurang-kurangnya 700 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan angka kematian akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza meningkat kepada 413 orang manakala 2,300 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan Palestin pada Ahad.

Agensi Berita Palestin (Wafa) melaporkan antara yang terbunuh termasuk 78 kanak-kanak dan 41 wanita akibat pengeboman pesawat tempur Israel ke atas beberapa rumah di kawasan berbeza di Semenanjung Gaza.

Dua serangan udara Israel di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza dan di bandar Beit Hanoun di utara juga meragut nyawa bayi, wanita, dan warga emas, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:06 PM