BUDAK lelaki bermain air banjir selepas  Sungai Ganges melimpah akibat hujan lebat di Allahabad.
BUDAK lelaki bermain air banjir selepas Sungai Ganges melimpah akibat hujan lebat di Allahabad.

New Delhi: Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh akibat banjir kilat dan lebih 170,000 penduduk dipindahkan selepas peramal cuaca menjangkakan lebih banyak hujan lebat dalam beberapa hari lagi.

Dua puluh orang terbunuh di negeri Madhya Pradesh, dengan 70,000 penduduk hilang tempat tinggal apabila air naik hingga ke tahap berbahaya di sepanjang kawasan sungai Narmada.

Anggota bomba bertungkus-lumus meredah banjir untuk menyelamatkan wanita dan kanak-kanak di perkampungan yang dinaiki air, sementara pasukan penyelamat menggunakan bot kembung untuk mencapai mangsa yang terkandas di kawasan bandar.

“Beribu-ribu orang akan dipindahkan hari ini. Kami berusaha untuk menubuhkan kem bantuan. Jabatan kesihatan turut mengedarkan ubat untuk mencegah wabak penyakit bawaan air,” kata setiausaha dalam negeri tambahan, Basant Singh di Bhopal.

Cuaca buruk turut melanda kawasan terpencil di timur laut. Hujan lebat yang melanda Assam membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan memaksa kira-kira 100,000 penduduk mencari perlindungan di kawasan tinggi.

Hujan lebat turut menaikkan air sungai Brahmaputra yang mengalir ke Bangladesh ke tahap berbahaya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:31 AM