DAERAH Sunamganj yang terjejas akibat banjir. FOTO AFP
DAERAH Sunamganj yang terjejas akibat banjir. FOTO AFP
AFP

SUNAMGANJ: Hampir empat juta penduduk terjejas akibat banjir dengan satu pertiga Bangladesh dipercayai ditenggelami air.

Monsun yang biasanya berlangsung dari Jun hingga September adalah penting untuk ekonomi di sub-benua India, namun turut menyebabkan kematian dan kemusnahan setiap tahun.

"Ini adalah banjir terburuk dalam tempoh sedekad," kata Ketua Pusat Amaran dan Ramalan Banjir, Arifuzzaman Bhuiyan kepada AFP.

Hujan lebat menyebabkan paras air terus meningkat khususnya di dua sungai utama Himalaya yang mengalir melintasi India dan Bangladesh iaitu Brahmaputra dan Ganges.

Bhuiyan berkata, satu pertiga daripada Bangladesh kini ditenggelami air dengan sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk terjejas.

Sungai Brahmaputra kini hampir 40 sentimeter lebih tinggi berbanding hari biasa dan berisiko menyebabkan tebing pecah.

Kebanyakan penduduk kampung sudah meninggalkan kediaman masing-masing.

Melalui ramalan kaji cuaca selama 10 hari yang menjangka peningkatan paras air, Bhuiyan berkata, jika lebih banyak sungai melebihi paras normal, kira-kira 40 peratus daripada Bangladesh akan berdepan risiko 'senario paling buruk'.

Di Assam, timur laut India, lebih 2.1 juta penduduk terjejas sejak pertengahan Mei.

Sekurang-kurangnya 50 individu terkorban.

Kakitangan perkhidmatan kecemasan perlu memakai sut pelindung berwarna oren terang untuk melindungi diri mereka dari banjir dan Covid-19.

"Kita perlu menghadapi dua cabaran, Covid-19 dan banjir," kata ketua pasukan keselamatan, Abhijeet Kumar Verma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 9:38 PM