FRANCESCO ditahan polis di sebuah rumah mewah di Pattaya kerana disyaki menyamar sebagai George Clooney dan menipu. FOTO AFP
FRANCESCO ditahan polis di sebuah rumah mewah di Pattaya kerana disyaki menyamar sebagai George Clooney dan menipu. FOTO AFP
Agensi

BANGKOK: Seorang lelaki warga Itali yang hidup mewah dengan menyamar sebagai bintang Hollywood terkenal, George Clooney ditahan di Pattaya, Thailand, Sabtu lalu kerana disyaki terbabit dalam siri penipuan.

Francesco Galdelli, 58, dan isterinya, Vanja Goffi, 45, ditahan di sebuah rumah mewah dalam operasi dilakukan polis Thailand dan pihak berkuasa Itali.

Polis Thailand dalam satu kenyataan berkata, Francesco mengaku menyamar sebagai George Clooney dan membuka perniagaan menjual pakaian untuk menipu wang pelanggan.

Francesco dan Vanja turut dikehendaki polis di Itali kerana melakukan beberapa penipuan termasuk menjual jam tangan Rolex palsu dalam talian.

Ada kalanya, mereka menggantikan jam tangan dengan peket garam dalam bungkusan yang dihantar kepada pelanggan malang.

Jenayah dilakukan pasangan berkenaan menyebabkan mereka diberi jolokan Bonnie dan Clyde Itali berdasarkan nama pasangan penjenayah bank terkenal Amerika Syarikat.

Rakaman imej daripada dron polis memaparkan pasangan yang dikehendaki Interpol sejak tahun 2013 itu membawa beg ketika ditahan.

Polis berjaya mengepung kediaman mewah mereka selepas melakukan intipan menggunakan pengawasan elektronik dan dron, kata polis Itali dalam satu kenyataan.

Beberapa tahun lalu, Clooney memberitahu sebuah mahkamah di Milan, pasangan terbabit dan seorang rakan mereka menyalahgunakan namanya untuk mempromosi satu rangkaian fesyen.

Francesco dan Vanja yang melarikan diri ke Thailand sejak 2014 bakal didakwa di bawah undang-undang imigresen sebelum dihantar ke Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:03 AM