Selepas lebih sebulan melangsungkan perkahwinan, George Clooney dan Amal Alamuddin pasti menjalani kehidupan serba mewah, sesuai dengan status mereka.

Pasangan itu dilaporkan membelanjakan sehingga RM55 juta untuk membeli sebuah rumah desa serba besar dan lengkap di Berkshire.

Rumah sembilan bilik itu yang terletak berhampiran Sungai Thames pasti membolehkan mereka menjalani kehidupan secara privasi dan mewah.

Lengkap dengan perpustakaan, gimnasium, spa, bilik mandi wap, rumah itu memiliki semua kemudahan yang memenuhi cita rasa bintang terkenal seperti Clooney, 53.

Bagi peguam aktivis hak asasi manusia, Amal 36, mempunyai akses yang mudah untuk berulang alik ke London.

Antara jiran terdekat mereka termasuk ahli silap mata Uri Geller dan Setia­usaha Dalam Negeri, Theresa May.

Clooney dikatakan berminat tinggal di kawasan itu selepas melawat kampung Fingest di Buckinghamshire yang terletak berhampiran ketika merakamkan babak untuk filemnya, The Monuments Men.

Rumah itu turut mempunyai dewan makan de­ngan siling tinggi, dinding dibarisi rak buku, candelier dan pendiang api terbuka.

Untuk memastikan taman sekeliling rumah sentiasa terjaga, Clooney dan Amal boleh menggaji tukang kebun dan membenarkan mereka mendiami rumah berasingan yang terletak berhampiran.

Menurut laporan, rumah itu dibeli akhir bulan lalu menerusi sebuah syarikat swasta.

Clooney dan Alam berkahwin di Venice bulan lalu tetapi dilaporkan berbulan madu di sekitar London.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM