RONALDO (tengah) bersama Del Piero (kanan) tampil menerusi siaran video.
RONALDO (tengah) bersama Del Piero (kanan) tampil menerusi siaran video.
AFP

DUBAI: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo dinobatkan Pemain Bola Sepak Terbaik Globe untuk tahun kedua berturut-turut dan keempat keseluruhan walaupun dia tidak hadir untuk menerima trofi berkenaan.

Pemain Portugal itu memenangi anugerah anjuran Persatuan Ejen-Ejen Bola Sepak Eropah (EFAA) dan Persatuan Kelab-kelab Eropah (ECA) berkenaan pada tahun 2011, 2014 dan 2016.

Ronaldo bagaimanapun tampil menerusi siaran video di mana dia menerima trofi berkenaan daripada bintang Itali, Alessandro del Piero.

Walaupun memenangi pelbagai anugerah, Ronaldo secara berjenaka berkata dia masih mempunyai banyak ruang untuk menambah koleksi trofi dimenanginya.

“Jangan bimbang kawan, saya masih ada banyak ruang,” kata Ronaldo yang membantu Real memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.

“Bagi saya ia adalah saat yang istimewa dan saya amat gembira dapat menerima anugerah ini. Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan kepada Real Madrid.

“Ia adalah tahun yang yang menakjubkan, kami memenangi banyak trofi baik secara individu atau berpasukan. Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya – tahun depan, lakukan perkara yang sama!”

Real turut dinobatkan sebagai kelab terbaik tahun ini dan Zinedine Zidane sebagai pengendali terbaik.

“Ia satu penghargaan buat saya dan kelab untuk menerima anugerah ini,” kata Zidane. “Ia bermakna yang semuanya berjalan lancar dan baik.”

Francesco Totti dan Carles Puyol pula menerima anugerah karier pemain manakala Marcello Lippi diberikan anugerah karier kejurulatihan dan La Liga dinobatkan liga terbaik sementara Jorge Mendes sebagai ejen terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:22 PM