Agensi

Jakarta: Polis Indonesia semalam memberi kebenaran kepada sebuah kumpulan Islam untuk mengadakan bantahan besar-besaran pada Jumaat ini bagi membantah Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama.

Ketua Barisan Pembela Islam, Rizieq Shihab memberitahu, polis juga bersetuju untuk mengawal perhimpunan berkenaan.

“Polis dan Pergerakan Nasional Melindungi Fatwa Majlis Ulama Indonesia (GNPF-MUI) bersetuju perhimpunan pada Jumaat ini diteruskan,” kata Rizieq dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat MUI.

Rizieq yang juga pengerusi GNPF-MUI mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian, semalam.

Menurutnya, kumpulan itu yang sebelum ini merancang membuat solat Jumaat di Jalan Thamrin dan Jalan Sudirman bersetuju untuk menukar lokasi ke perkarangan Monumen Nasional.

Dalam pertemuan itu, Tito tidak membenarkan penunjuk perasaan bersolat Jumaat di jalan raya tetapi bersetuju mereka berpindah ke lokasi lain.

Perhimpunan kali ketiga itu dirancang bagi membantah terhadap Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok kerana didakwa menghina agama Islam.

Ahok yang kini dinamakan sebagai suspek dalam kes menghina agama mencetuskan kontroversi selepas menuduh lawannya menggunakan ayat al-Quran untuk menipu pengundi.

Polis mengambil tindakan terhadap Ahok selepas berpuluh ribu penunjuk perasaan membanjiri Jakarta pada awal bulan ini bagi mendesak dia ditangkap.

GNPF-MUI mahu melancarkan perhimpunan besar-besaran kali ketiga kerana tidak berpuas hati selepas polis masih enggan menangkap Ahok.

Ahok adalah gabenor Jakarta kedua beragama Kristian dan yang pertama daripada etnik Cina di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:33 AM