PEMAIN AC Milan ketika menentang Real Betis, 25 Oktober lalu. Amnesty International menggesa AC Milan dan Juventus, supaya tidak menyertai Piala Super Itali, yang bakal dihoskan Arab Saudi. FOTO Reuters
PEMAIN AC Milan ketika menentang Real Betis, 25 Oktober lalu. Amnesty International menggesa AC Milan dan Juventus, supaya tidak menyertai Piala Super Itali, yang bakal dihoskan Arab Saudi. FOTO Reuters
AFP

PERTUBUHAN Amnesty International, hari ini menggesa kelab bola sepak terkemuka, AC Milan dan Juventus, tidak menyertai Piala Super Itali, pertandingan yang bakal dihoskan Arab Saudi Januari tahun depan, berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

“Walaupun sebelum pembunuhan ngeri Jamal Khashoggi, rekod hak asasi manusia Arab Saudi sangat teruk.

“Kelab ternama seperti Juventus dan AC Milan perlu faham pembabitan mereka dalam acara sukan di negara itu bolah digunakan sebagai bentuk ‘pembasuhan minda sukan’,” kata ketua dasar Amnesty International United Kingdom, Allan Hogarth.

Khashoggi, wartawan Arab Saudi yang lantang mengkritik kerajaan negaranya, dibunuh selepas memasuki konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober lalu untuk mengambil dokumen bagi mengahwini tunangnya, seorang wanita Turki.

“Kami menggesa kelab Itali supaya berfikir dua kali mengenai petunjuk ini yang dihantar kepada peminat sukan seluruh dunia dan aktivis berani yang menyokong hak asasi manusia di Arab Saudi,” kata Hogarth.

Laporan menyatakan mayat Khashoggi dikerat oleh pasukan yang dihantar dari Arab Saudi untuk menutup mulut wartawan itu, yang kerap mengkritik Putera Mahkota Mohammed bin Salman menerusi tulisannya.

Pembunuhan itu memberi tamparan hebat kepada imej Arab Saudi, yang cuba diperbaiki Putera Mohammed sejak pelantikannya sebagai pewaris takhta tahun lalu.

Piala Super Itali 2018/2019 dijadualkan pada Januari 2019 di Riyadh, dan menemukan pemenang tahun lalu, Juventus, bertemu naib juara, AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 12:44 AM