MOHAMMED Salman. FOTO Reuters
MOHAMMED Salman. FOTO Reuters
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman kebal daripada tindakan undang-undang membabitkan pembunuhan seorang wartawan pada 2018, menurut dokumen mahkamah.

Putera Mohammed dinamakan sebagai Perdana Menteri melalui titah diraja pada akhir September, mencetuskan cadangan beliau ingin mengelak pendedahan dalam kes yang difailkan di mahkamah asing termasuk tindakan sivil yang dibawa ke AS oleh Hatice Cengiz, tunang kepada kolumnis yang terbunuh, Jamal Khashoggi.

Pembunuhan Khashoggi di konsulat Istanbul empat tahun lalu, buat sementara waktu menjadikan Putera Mohammed dikenali sebagai MBS dipandang negatif oleh negara Barat.

Peguamnya sebelum ini berhujah, Mohammed "duduk di puncak kerajaan Arab Saudi" dan dengan itu layak menerima jenis imuniti yang diberikan oleh mahkamah AS kepada ketua negara asing dan pegawai berpangkat tinggi lain.

Kerajaan AS mempunyai masa sehingga Khamis untuk memberikan pendapat mengenai perkara itu, jika ia memilih untuk menawarkannya sama sekali.

Syor itu bagaimanapun 'tidak mengikat' mahkamah.

"Amerika Syarikat dengan hormatnya memaklumkan kepada mahkamah, defendan, Mohammed Salman, Perdana Menteri Kerajaan Arab Saudi adalah ketua kerajaan dan oleh itu, kebal daripada saman ini," menurut hujahan dikemukakan kepada Mahkamah Daerah AS untuk District of Columbia, daripada pentadbiran Presiden Joe Biden.

Tetapi ia menambah, Jabatan Negara "mengulangi kutukan yang tidak berbelah bahagi terhadap pembunuhan kejam Jamal Khashoggi."

Syor itu mencetuskan kemarahan penyokong tindakan Cengiz, termasuk wakil Democracy for the Arab World Now (DAWN), NGO berpangkalan di AS yang diasaskan Khashoggi.

"Pentadbiran Biden berusaha keras untuk mengesyorkan imuniti untuk MBS dan melindunginya daripada akauntabiliti," kata pengarah eksekutif DAWN Sarah Leah Whitson.

"Sekarang Biden mengisytiharkan, dia tidak mendapat hukuman sepenuhnya, kita boleh menjangkakan serangan MBS terhadap orang ramai di negara kita akan meningkat lebih jauh."

Agnes Callamard, setiausaha agung Amnesty International, menggelar syor itu sebagai "pengkhianatan yang mendalam."

Putera Mohammed yang menjadi pemerintah de facto kerajaan selama beberapa tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan di bawah bapanya, Raja Salman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:02 AM