POLIS mengawal keadaan di tempat kejadian selepas menembak penyerang. FOTO/AGENSI
POLIS mengawal keadaan di tempat kejadian selepas menembak penyerang. FOTO/AGENSI
AFP

AMSTERDAM: Insiden tikaman pisau membabitkan dua pengunjung di Stesen Central di sini disyaki ada kaitan dengan serangan keganasan, kata polis Belanda.

Penyerang dikenal pasti sebagai seorang rakyat Afghanistan berusia 19 tahun dan memiliki permit untuk menetap di Jerman.

“Kami tidak dapat menolak kemungkinan bahawa insiden ini mempunyai motif pengganas,” kata jurucakap polis Amstredam, Frans Zuiderhoek kepada AFP.

Terdahulu saksi berkata, keadaan bertukar panik sebaik terdengar bunyi tembakan dan ribuan pengunjung serta pelancong dipindahkan dari terminal ke kawasan selamat.

“Pada kira-kira jam 12.10 tengah malam seorang lelaki di terowong barat Stesen Central Amsterdam menikam dua orang sebelum ditembak polis,” kata seorang lagi polis, Rob van der Veen.

“Dua mangsa itu cedera parah dan terus dibawa ke hospital,” katanya.

Polis enggan mengulas lanjut berhubung motif kejadian semalam, namun Taliban Afghanistan dalam satu kenyataan pada Khamis menyeru anggotanya bertindak ke atas pasukan Belanda susulan rancangan ahli politik berhaluan kanan, Geert Wilders untuk mengadakan peraduan melukis kartun Nabi Muhammad SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 8:35 AM