PASUKAN polis mengawal keadaan selepas  insiden tembakan di Belanda. FOTO Agensi
PASUKAN polis mengawal keadaan selepas insiden tembakan di Belanda. FOTO Agensi
Agensi

ISTANBUL: Perkhidmatan Risikan Turki sedang menyiasat sama ada insiden tembakan di Belanda adalah serangan keganasan atau berpunca daripada pertelingkahan keluarga, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan, semalam.

“Perkhidmatan risikan kami menyiasat semua aspek dan ketuanya memberitahu bahawa mereka akan mengumpul semua maklumat berkaitan.

“Ada yang mengatakan ia berpunca daripada masalah keluarga manakala terdapat dakwaan lain mengaitkannya dengan keganasan,” kata Erdogan kepada stesen televisyen Turki, Ulke TV.

Sebelum itu, AFP melaporkan suspek berketurunan Turki yang dikenali sebagai Gokmen Tanis, 37, itu sudah ditahan polis Belanda selepas dipercayai melepaskan tembakan di dalam tram hingga menyebabkan tiga mangsa mati,

Pihak berkuasa itu berkata, mereka menyiasat kes terbabit sebagai kes keganasan namun tidak boleh menolak motif lain termasuk pertelingkahan keluarga.

Agensi berita Turki, Anadolu yang memetik kenyataan keluarga berkata, suspek melepaskan tembakan ke arah ahli keluarganya sebelum menembak mangsa lain yang cuba membantu.

Bapanya, Mehmet Tanis berkata, anaknya itu patut dihukum jika didapati bertanggungjawab dalam kejadian itu dan dia sudah lama tidak berhubung dengan Gokmen sejak pulang ke tanah air pada 2008 selepas bercerai dengan isteri, lapor agensi DHA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 10:43 AM