SERPIHAN kaca selepas kediaman  Konsulat Turki dilontar tincat dan bom molotov. FOTO/REUTERS
SERPIHAN kaca selepas kediaman Konsulat Turki dilontar tincat dan bom molotov. FOTO/REUTERS
Reuters

AMSTERDAM: Seorang lelaki ditahan selepas melontar tin cat dan bom molotov ke arah Konsulat Turki di sini, malam Sabtu lalu, hingga menyebabkan kebakaran kecil di kawasan taman yang terletak di hadapan bangunan berkenaan.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” lapor stesen penyiaran kebangsaan Belanda, NOS.

NOS yang memetik Konsul Turki, Tolga Orkun, melaporkan suspek dipercayai lelaki warga Belanda berusia 34 tahun.

Namun, polis Belanda tidak mendedahkan identiti lelaki itu atau motif tindakannya, tetapi mengesahkan tangkapan dibuat, sebaik sahaja insiden berlaku pada malam Sabtu lalu.

Orkun berkata, suspek melontar tiga peranti buatan sendiri ke arah bangunan konsulat.

Namun, imej yang dirakam pihak keselamatan menunjukkan dua daripadanya, iaitu beberapa tin cat yang diikat menggunakan pita pelekat dan bom molotov tidak meletup.

“Satu lagi bom molotov yang dilontar ke arah bangunan menyebabkan kebakaran di bahagian taman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 8:28 AM