Kepulan asap dari perkampungan Rohingya di Tamrobill di sempadan Myanmar dekat Teknaf, Bangladesh, yang dibakar tentera Myanmar, hari ini. - Foto  EPA
Kepulan asap dari perkampungan Rohingya di Tamrobill di sempadan Myanmar dekat Teknaf, Bangladesh, yang dibakar tentera Myanmar, hari ini. - Foto EPA
AFP

MENTERI Luar Bangladesh A H Mahmood Ali mengesahkan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya sedang berlaku di negeri Rakhine, Myanmar, menyebabkan 300,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa mereka.

“Masyarakat antarabangsa menyatakan ia adalah pembunuhan beramai-ramai. Kami juga menyatakan ia pembunuhan beramai-ramai,” katanya selepas memberi taklimat kepada diplomat di Dhaka.

Mahmood bertemu diplomat Barat dan Arab di pejabat agensi PBB di Bangladesh bagi mendapatkan sokongan untuk penyelesaian politik dan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya.

Menurutnya, kira-kira 300,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak dua minggu lalu, menjadikan keseluruhan jumlah pelarian kini 700,000.

Sekurang-kurangnya dua diplomat yang menghadiri perjumpaan itu memberitahu, Mahmood berkata, sehingga 3,000 etnik Rohingya dibunuh dalam keganasan itu.

Agensi kemanusiaan PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 1,000 maut, hampir semuanya etnik Rohingya selepas seminggu keganasan tercetus.

Menurut PBB, 294,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak 25 Ogos lalu dengan puluhan ribu lagi masih berkeliaran menyembunyikan diri di Rakhine.

Mahmood mengecam Myanmar kerana menjalankan propaganda kebencian melabelkan Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh manakala militan Rohingya sebagai pengganas Benggali.

Menurutnya, Muslim Rohingya di Rakhine adalah ‘gabungan pelbagai etnik’ yang sejarahnya bermula 1,500 tahun lalu, dengan nenek moyang mereka termasuk dari Arab dan India.

Beliau berkata, tidak wajar tentera Myanmar membalas serangan militan pada 25 Ogos lalu, terhadap orang awam.

“Perlukah semua orang awam dibunuh? Perlukah semua perkampungan dibakar? Ia tidak boleh diterima,” katanya yang menegaskan Bangladesh mencari penyelesaian secara aman, bukan ‘perang’ terhadap Myanmar.

“Bukan kami yang mewujudkan masalah itu, ia bermula di Myanmar, mereka yang perlu menyelesaikannya. Kami hanya membantu atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 4:30 PM