GUNUNG berapi di Hawaii mula meletus. FOTO/AFP
GUNUNG berapi di Hawaii mula meletus. FOTO/AFP
Reuters

HAWAII: Satu letusan besar di gunung berapi Kilaueau semalam menghamburkan debu setinggi 9,114 meter ke angkasa dan penduduk di Pulau Besar diberi amaran untuk mencari perlindungan daripada debu yang meliputi sebahagian besar pulau berkenaan, kata pihak berkuasa.

“Pemantau Gunung Berapai Hawaii melaporkan satu letusan di puncak Kilauea.

“Keadaan itu menyebabkan debu turun meliputi kawasan sekitar. Sila berlindung sekiranya anda berada di kawasan terjejas,” kata Pertahanan Awam Hawaii dalam amaran yang disampaikan melalui mesej telefon.

Letusan kuat didorong stim itu dijangka menghamburkan sejumlah besar debu vulkanik dan asap daripada kawah Kilauea.

Gunung berapi itu sebelum ini memusnahkan 37 rumah dan struktur lain di kawasan tenggara pulau berkenaan dan menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan.

Pakar geologi memberi amaran, letusan mungkin bermula apabila tasik di Kilauea surut di bawah aras air bumi membolehkan air mengalir ke ruang lava sekali gus mencetuskan letusan akibat stim yang terbentuk.

Pemantau Geologi Amerika Syarikat memberi amaran, letusan kuat mungkin menembak batu sebesar kereta sejauh lebih satu kilometer dan batu kecil sejauh beberapa kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:35 AM