ANGGOTA keselamatan Israel menurunkan penghadang keselamatan di Pintu Singa, laluan utama ke pekarangan Masjid Al-Aqsa. - AFP
ANGGOTA keselamatan Israel menurunkan penghadang keselamatan di Pintu Singa, laluan utama ke pekarangan Masjid Al-Aqsa. - AFP
AFP

Baitulmaqdis: Penduduk Palestin meneruskan protes dan konfrontasi dengan Israel di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat tanda menolak peletakan kamera kawalan keselamatan baru di pintu pagar ke pekarangan Masjid Al-Aqsa selepas alat pengesan logam diturunkan dari situ.

Aktivis Mohammad Abu al-Hommos berkata: “Isusebenarnya mengenai kawalan. Mereka mahu memantau orang Palestin menggunakan kamera.

“Saya mahu keluar masuk ke Al-Aqsa bila dikehendaki. Siapa mereka untuk memantau saya? Saya mahu memasuki rumah ibadah.

“Tindakan mereka melanggar hak dan ruang peribadi kami. Kami akan terus membantah. Memang hak kami untuk membantah.”

Walaupun alat pengesan logam diturunkan semalam, penganalisis dan peguam menganggap kamera sebenarnya ancaman lebih besar yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Penganalisis, Khalil Shaheen berkata, kamera itu mampu mengesan wajah dan identiti seseorang.

“Ramai orang Palestin enggan membayar cukai Israel di Baitulmaqdis, selain masuk dari Tebing Barat ke situ setiap Jumaat secara haram, termasuk aktivis. Sungguh bahaya jika Israel dapat mengesan mereka.

“Ini bererti Israel mengawal sepenuhnya kawasan sekitar Al-Haram Al-Sharif seterusnya mengetepikan peranan Jordan sebagai penjaganya serta pengawal Palestin di situ.

“Pemegang kuasa adalah orang yang mengawal kamera berkenaan,” katanya.

Orang Palestin enggan memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa sejak minggu lalu sebaliknya solat di luar selepas alat pengesan logam dimuatkan susulan serangan pada 14 Julai lalu yang membunuh dua polis Israel dan tiga lelaki Palestin.

Alat pengesan itu mencetuskan kemarahan dan bantahan ganas orang Palestin yang menganggapnya cubaan Israel menguasai tempat suci itu.

Alat pengesan logam itu dibuang sebelum waktu Subuh dan Israel berkata, ia tidak akan digunakan lagi.

Kabinet keselamatan Israel ‘menerima cadangan semua badan keselamatan untuk mengubah penggunaan alat pengesan logam kepada pemeriksaan menggunakan teknologi serta kaedah lain,’ kata kenyataan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Pihak berkuasa Muslim semalam juga menggesa umat Islam terus memboikot lokasi berkenaan.

“Tidak sesiapapun patut memasuki Masjid Al-Aqsa sehingga jawatankuasa teknikal Waqf selesai membuat pemeriksaan dan memastikan keadaan kembali seperti sedia kala,” kata jawatankuasa Waqf dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:11 AM