Mayat lapan sekeluarga yang ditemui di daerah Ao Luk, Krabi, hari ini. - Foto Bangkok Post/Facebokk Khon Khon Khao Koopai.
Mayat lapan sekeluarga yang ditemui di daerah Ao Luk, Krabi, hari ini. - Foto Bangkok Post/Facebokk Khon Khon Khao Koopai.
Agensi

SEKUMPULAN lelaki bersenjata menembak mati lapan sekeluarga, termasuk kanak-kanak selepas menyerbu masuk sebuah rumah di Krabi, Thailand, hari ini.

Reuters melaporkan, kumpulan lelaki itu menyerbu masuk rumah berkenaan semalam, dan menahan mangsa sebelum menembak mereka.

Menurut Bangkok Post, tiga kanak-kanak antara mangsa yang ditembak oleh sekumpulan lima atau enam lelaki yang tiba di rumah Vorayut Sanglang iaitu Ketua Kampung Ban Klang pada 4 petang semalam.

Mereka berpakaian celoreng dan datang dengan dua kenderaan.

Menurut polis, mereka menyatakan mahu menggeledah rumah berkenaan dan memberi amaran kepada keluarga berkenaan supaya jangan keluar.

Ketua penyiasat di Balai Polis Ao Luk, Kapten Suwit Kaewpreecha, berkata kumpulan itu menunggu sehingga Vorayut pulang pada 8 malam dan selepas itu, seluruh anggota keluarga digari serta ditutup mata.

“Menjelang tengah malam, mereka ditembak dari jarak dekat, mensasarkan kepala,” katanya.

Kumpulan penyerang itu kemudian meninggalkan rumah berkenaan dengan turut mencuri kereta Toyota milik Vorayut.

Polis yang tiba ke tempat kejadian pagi ini, menemui lapan mayat dalam rumah iaitu dua lelaki, dua wanita dan dua budak perempuan. Enam lagi mangsa yang cedera parah ditembak dikejarkan ke hospital.

Menurut polis, Vorayut dan seorang lagi budak perempuan mati ketika dirawat di hospital.

Polis percaya serangan itu ada kaitan dengan perbalahan peribadi.

Ramai rakyat Thailand memiliki senjata api namun kejadian pembunuhan beramai-ramai seperti ini amat jarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 3:44 PM