Gambar kiri, pemain kriket kebangsaan Bangladesh, Shahadat Hossain dan gambar kanan,  pembantu rumahnya berusia 11 tahun yang cedera akibat dipukul dan didera - Foto AFP/campuslive24.com
Gambar kiri, pemain kriket kebangsaan Bangladesh, Shahadat Hossain dan gambar kanan, pembantu rumahnya berusia 11 tahun yang cedera akibat dipukul dan didera - Foto AFP/campuslive24.com

Dhaka: Polis Bangladesh melakukan operasi besar-besaran mengesan pemain kriket kebangsaan negara itu, Shahadat Hossain, yang menyembunyikan diri berikutan dakwaan dia dan isteri mendera dan menyeksa pembantu rumah mereka yang berusia 11 tahun.

Pemain berusia 29 tahun itu kini digantung oleh Lembaga Kriket Bangladesh sehingga kes itu selesai menyebabkan dia tidak dapat bermain dalam perlawanan Bangladesh menentang Australia. Menurut polis, budak perempuan itu kini sedang dirawat di hospital.

Pegawai polis yang menyiasat kes itu, Inspektor Shafiqur Rahman, berkata pihaknya sedang mengesan telefon bimbit Shahadat.

“Kami menggerakkan 10 pasukan untuk menahannya. Kami melakukan serbuan setiap hari dan kini mengesan telefon bimbitnya,” katanya.

Pemain antarabangsa Bangladesh itu itu boleh menghadapi dakwaan mendera kanak-kanak dan menggajikan pekerja bawah umur.

Dia dan isterinya, Nritto Shahadat, melarikan diri sebelum polis menyerbu rumah mereka pada 6 September lalu, selepas polis menemui pembantu rumahnya yang cedera termasuk lebam di mata, menangis di jalanan.

Menurut media Bangladesh, budak itu, Mahfuza Akter Happy, memberitahu polis pasangan berkenaan sering memukulnya, tangan ada kesan terbakar serta parut kecederaan di seluruh tubuh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 7:09 PM