DUA beradik memasang impian membuka bengkel bersama satu hari nanti.
DUA beradik memasang impian membuka bengkel bersama satu hari nanti.
Redzuan Muharam


Ketika segelintir remaja terjebak kegiatan perlumbaan haram, dua beradik, Muhammad Amirul Haikal, 16, dan Muhammad Afiq Haikal Hairul Azmi Mat Shah, 15, pula sebaliknya apabila berusaha menempa nama dalam sukan lumba kereta.

Bermula bermain go kart, Amirul dan Afiq semakin mengorak langkah dan boleh dianggap pelapis sukan lumba kereta negara berdasarkan rekod penyertaan mereka dalam beberapa kejohanan lalu pada usia muda.

Menceritakan detik permulaan, Amirul berkata, penyertaannya dan Afiq dalam sukan berkenaan hasil galakan ibu, Rahmah Abdul Mutalib dan ayah yang kerap membawa mereka ke litar go kart sejak di sekolah rendah.

Katanya, bermula dari situ, mereka berdua diberi pendedahan terhadap sukan berkenaan hingga terbiasa dengan suasana di litar.

“Namun, selepas bertemu jurulatih dari sebuah pasukan, minat kami beralih pula ke sukan lumba kereta dan pada mulanya agak sukar kerana saya sendiri tidak tahu apa itu clutch serta gear.

“Pengalaman memandu go kart juga tidak banyak membantu kerana cara pemanduan kereta berbeza jadi saya dan Afiq perlu mengambil masa untuk mahir.

“Bagaimanapun, kami berdua dapat membiasakan diri memandu di litar dengan pertolongan jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu berkaitan selok-belok sukan lumba kereta,” katanya yang menjadikan Jazeman Jaafar dan Sebastian Vettel sebagai idola dalam sukan lumba kereta.

MAHU menempa nama dalam sukan lumba kereta.
MAHU menempa nama dalam sukan lumba kereta.

Sementara itu, Afiq Haikal berkata, banyak perkara yang terpaksa mereka korbankan sejak menceburi sukan berkenaan.

Antaranya adalah masa bersama rakan sebaya kerana selepas pulang dari sekolah, mereka akan gimnasium untuk menjalani latihan kecergasan.

“Selebihnya, kami akan ke litar untuk menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih kira-kira dua kali dalam sebulan. Kalau diikutkan memang kami hendak juga ada masa berseronok dengan rakan tetapi terpaksa melupakannya kerana terikat dengan rutin lain.

“Pendek cerita, kami sudah lali dengan perkara itu kerana memandu di litar lebih memberi kepuasan memandangkan ia minat saya dan abang sejak kecil,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju mereka berdua, Afiq berkata, dia dan Amirul berharap berada di kedudukan lima terbaik pada S1K.

Selain itu, dua beradik ini juga bercita-cita membuka bengkel kereta dan kelas mengajar mereka yang berminat menceburi sukan berkenaan.

“Walaupun aktif dalam sukan ini, pelajaran tetap menjadi keutamaan kerana itu bekalan penting pada masa depan. Namun, kami turut mempunyai perancangan lain dan berkongsi keinginan sama iaitu membuka bengkel kereta satu hari nanti.

“Diharap impian itu tercapai kerana kami mahu membuktikan kepada mereka pembabitan aktif dalam sukan ini tidak sia-sia berbanding menyertai lumba haram yang bukan saja membuang masa malah membahayakan nyawa,” katanya.

AMIRUL (kanan)  dan Afiq bersama ibu serta bapa mereka yang memberi galakan menyertai sukan lumba kereta.
AMIRUL (kanan) dan Afiq bersama ibu serta bapa mereka yang memberi galakan menyertai sukan lumba kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 2:51 AM