SEPANJANG laluan dari Muzium Partition ke Jallianwala Bagh dan Golden Temple diserikan dengan bangunan seni bina lama Britain.
SEPANJANG laluan dari Muzium Partition ke Jallianwala Bagh dan Golden Temple diserikan dengan bangunan seni bina lama Britain.
Hartini Mohd Nawi

Berada dalam kalangan ribuan penerima makanan sumbangan menjadi pengalaman paling menarik dan melucukan buat penulis yang kali pertama menjejakkan kaki ke bumi Punjab, India.

Ceritanya berlaku pada hari kedua di sana, ketika mengunjungi bahagian luar Kuil Emas atau Golden Temple di Amritsar. Bayangkan dalam ribuan manusia, pelbagai gelagat menjadi tatapan mata sementara tangan pula tidak lepas merakam situasi unik di situ sama ada berswafoto atau mengambil gambar.

Terletak kira-kira 500 meter dari perkarangan luar, Golden Temple dibina di tengah-tengah tasik dan menjadi struktur suci penganut Sikh.

Hingar-bingar ragam manusia di situ langsung tidak mempedulikan bahang mentari yang tegak di atas kepala. Masing-masing bermandi peluh.

MENJUAL buah-buahan antara sebahagian mata pencarian masyarakat Punjab.
MENJUAL buah-buahan antara sebahagian mata pencarian masyarakat Punjab.

Dalam cuaca panas sekitar 40 darjah Celsius, lantai marmar yang dipijak terasa bagai bara api hingga seorang rakan media dari Australia melecur kakinya.

Rombongan kami sebelum itu dibawa mengunjungi ruang penyediaan capati menggunakan tiga mesin yang menghasilkan 3,000 keping dalam satu jam.

Kelihatan ramai pekerja bertungkus-lumus menyusun dan menguruskan ribuan capati itu. Setiap hari capati dan beberapa makanan tradisional masyarakat Punjab disajikan kepada pengunjung kuil berkenaan.

Menurut Timbalan Pengurus Pemasaran Lembaga Promosi Pelancongan & Warisan Punjab, Anmol Nidhi, lebih 100,000 penganut dan pelancong mengunjungi Golden Temple setiap hari.

"Berada di sini juga mengajar kita untuk lebih menghargai makanan. Tidak dibuang merata-rata sebaliknya dimakan habis hingga licin dulang," katanya.

TERSERGAM gagah Golden Temple di tengah tasik.
TERSERGAM gagah Golden Temple di tengah tasik.

Selesai meninjau bahagian penghasilan capati, entah bagaimana penulis tiba-tiba berada dalam barisan penerima makanan sumbangan itu. Ketika itu barulah penulis tersedar tetapi sudah terlewat untuk keluar daripada barisan.

Sambil menatang dulang berisi capati, bubur nasi, kuah dal, penulis kemudian duduk di lantai dengan niat mahu merakam gambar sajian berkenaan. Makanan di dulang tidak berusik, sebaliknya penulis leka memerhatikan pelbagai ragam manusia menjamu selera.

Tiba-tiba datang seorang 'pak cik' yang bertindak sebagai salah seorang pembawa makanan menegur penulis supaya menghabiskan makanan di dalam dulang.

Dalam terpaksa, penulis beranikan diri mencubit sedikit capati dan merasai bubur nasi bercampur susu. Rasanya memang berbeza dengan masakan India yang biasa dinikmati di Malaysia.

Oleh kerana dulang perlu dikosongkan, penulis tiada pilihan lain. Berbekalkan senyuman, penulis memberikan makanan kepada 'jiran' sebelah dan sangat bersyukur dia tidak menolak. Bimbang juga kalau penulis perlu menelan semua makanan itu! Apapun, ia menjadi pengalaman paling mahal dalam hidup penulis.

SEBAHAGIAN proses penyediaan capati di Golden Temple.
SEBAHAGIAN proses penyediaan capati di Golden Temple.

Rombongan kami, merangkumi wartawan dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Australia, kemudian dibawa ke Gobindgarh Fort iaitu kubu bersejarah di tengah kota Amritsar.

Pada awalnya kubu itu diduduki pasukan tentera, namun mula dibuka kepada orang ramai pada 10 Februari 2017.

Sepetang berada di situ, duduk bersantai di atas rumput berhadapan pentas khas sambil menyaksikan persembahan unik dan tarian kebudayaan Punjab juga memahat kenangan indah dalam kamus hidup penulis. Jarang dapat penulis duduk di atas rumput sambil menyaksikan persembahan.

SEPETANG di Gobindgarh Fort menyaksikan pelbagai gelagat pengunjung termasuk menari dan bersantai di pentas khas.
SEPETANG di Gobindgarh Fort menyaksikan pelbagai gelagat pengunjung termasuk menari dan bersantai di pentas khas.

Pada sebelah malam pula, kami ke Golden Temple lagi bagi merakam kenangan berlatarkan binaan kilauan bersalut emas itu. Rupanya suasana malam lebih meriah berbanding siang. Semakin malam semakin ramai pengunjung kuil itu hingga ada yang tidur bergelimpangan di perkarangannya.

Mengimbau kembali hari pertama, selepas menghadiri sidang media Pelancaran Laluan Penerbangan Baru AirAsia X Kuala Lumpur - Amritsar di Hotel Taj Swarna, kunjungan ke Muzium Partition menyingkap seribu satu pengetahuan berguna berkenaan sejarah Punjab.

Dari situ kami berjalan lebih kurang 15 minit menuju ke Jallianwala Bagh yang pernah menjadi medan pergelutan dan kejadian pertumpahan darah membabitkan pejuang negara dalam usaha memerdekakan India daripada belenggu penjajahan British pada 13 April 1919.

PANAS terik tidak menghalang keterujaan kami (penulis dua dari kanan) untuk merakam kenangan di Jallianwala Bagh.
PANAS terik tidak menghalang keterujaan kami (penulis dua dari kanan) untuk merakam kenangan di Jallianwala Bagh.

Panas terik nyata tidak menghalang suasana dirakam sebaik mungkin. Kawasan pelancongan itu turut menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara.

Kira-kira jam 3 petang, kami ke Wagah Border pula iaitu sempadan di antara India dan Pakistan. Bermula jam 6 petang pintu sempadan akan ditutup dan dibuka semula keesokan harinya.

Sempat juga kami menyaksikan beberapa acara penting termasuk Istiadat Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal. Acara itu diadakan setiap hari yang menyaksikan ribuan pengunjung berkumpul di kedua-dua sempadan.

MENYAKSIKAN Istiadat Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal di Wagah Border antara pengalaman indah sukar dilupakan.
MENYAKSIKAN Istiadat Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal di Wagah Border antara pengalaman indah sukar dilupakan.

Terselit juga laungan kata-kata semangat dari kedua-dua negara. Uniknya Pakistan melaungkan ayat suci al-Quran surah al-Mizan diiringi takbir Allahuakbar!

Bagaimanapun, pada hari kunjungan penulis, hanya ada Istiadat Paluan Berundur dan Pertukaran Pengawal bagi menghormati rakyat India yang berkabung kerana kematian mantan perdana menterinya pada sebelah pagi.

PENULIS (kiri) dan empat rakan media merakam kenangan di Wagah Border.
PENULIS (kiri) dan empat rakan media merakam kenangan di Wagah Border.

Balik dari Wagah Border, kami singgah di Sadda Pind iaitu sebuah kampung peranginan Punjab dengan keluasan lebih kurang 4.8 hektar.

Banyak pengalaman baru yang penulis temui di resort berkenaan dan berpeluang mendekati kehidupan desa sebenar di India.

Suasana malam juga bertambah meriah di resort itu apabila kunjungan kami disambut dengan sajian enak makan malam dan tarian kebudayaan masyarakat Punjab.

Tidak puas merakam kenangan di Sadda Pind kerana kunjungan hari pertama suasananya malam. Kami sekali lagi ke resort berkenaan pada pagi hari ketiga di Amritsar. Sememangnya ia antara destinasi terbaik jika anda mahu memaparkan keistimewaannya menerusi media sosial terutamanya Instagram dan Facebook.

Dapatkan juga pelbagai buah tangan untuk dibawa pulang termasuk cenderahati di sekitar laluan antara Muzium Partition, Jallianwala Bagh dan Golden Temple.

Ayuh, jadikan Amritsar antara destinasi percutian anda! AirAsia X kini menyediakan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Amritsar, iaitu pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad menggunakan penerbangan D7188 serta D7189.

Penulis mengikuti kunjungan media anjuran AirAsia X ke Amritsar, India, baru-baru ini.

ANTARA cenderahati Amritsar untuk dibawa pulang.
ANTARA cenderahati Amritsar untuk dibawa pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:30 AM