SEMANGAT setia kawan  pelakon sangat kuat bukan saja di filem tapi dalam kehidupan sebenar.
SEMANGAT setia kawan pelakon sangat kuat bukan saja di filem tapi dalam kehidupan sebenar.
Syafil Syazwan Jefri

Bagi peminat setia filem aksi dari Hong Kong, tentunya judul rangkaian filem Young and Dangerous tidak asing lagi.

Mana tidaknya, ramai membesar bersama filem yang mula ditayangkan pada era 90-an itu.

Terbaru, seumpama penyatuan semula bintang utamanya iaitu Ekin Cheng, Michael Tse, Jordan Chan, Jerry Lamb dan Chin Kar Lok kembali beraksi dalam filem terbaru, Golden Job.

Selain mereka, Golden Job turut dibintangi Eric Tsang, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Berpeluang menonton tayangan pratonton filem ini beberapa hari lalu, nyata ada banyak peningkatan yang dinaik taraf jika dibandingkan dengan karya terdahulu.

Dari segi jalan ceritanya, tidak terlalu meleret dan penonton dengan jelas akan faham hala tuju pengarah yang juga pelakon dalam filem ini, Chin Kar Lok.

JORDAN Chan dan Michael Tse.
JORDAN Chan dan Michael Tse.

Dari segi aksi, semua pelakon dalam Golden Job layak diberikan pujian. Bayangkan, pada usia 50-an kecuali Jerry Lamb, semuanya masih mampu melakukan aksi hebat seperti zaman muda mereka.

Lokasi yang dijadikan latar tempat dalam Golden Job juga membuatkan penonton tidak berkelip antaranya Jepun, Montenegro, China, Taiwan, Mongolia dan Hungary.

Namun, beberapa babak yang menggunakan Imej Janaan Komputer (CGI) nampaknya kurang memuaskan dan boleh ditingkatkan lagi.

Sekali pandang, nampak seperti kualiti CGI yang dipaparkan tidak kena dengan tahap industri perfileman Hong Kong yang sudah kukuh di mata dunia.

JORDAN Chan (kiri) dan Ekin Cheng dalam satu babak.
JORDAN Chan (kiri) dan Ekin Cheng dalam satu babak.

Secara ringkasnya, Golden Job berkisar mengenai Lion lakonan Ekin Cheng, Volcano (Chan), Bill (Michael Tse), Mouse (Jerry Lamb) dan Calm (Chin Kar Lok) membesar bersama di bawah jagaan Cho yang mereka panggil Ayah lakonan (Eric Tsang).

Mereka melakukan satu rompakan ubat-ubatan untuk diberikan kepada mangsa penyakit kronik. Daripada siasatan mereka, ubat-ubatan itu dibawa oleh Agensi Perisikan Antarabangsa.

Namun, selepas selesai melakukan rompakan itu apa yang dirompak itu bukanlah ubat-ubatan sebaliknya jongkong emas.

Bill mengaku dia yang merancang rompakan jongkong emas itu dan memperalatkan kawan-kawannya.

ANTARA aksi mendebarkan penonton.
ANTARA aksi mendebarkan penonton.

Bermulalah perang saudara yang penuh dengan aksi dan bermain dengan emosi penonton.

Penghasilan filem Golden Job juga menerima dana daripada Datuk Jackie Chan dan dia sendiri mengakui kagum dengan tenaga kesemua pelakon.

“Semangat setia kawan mereka sangat kuat bukan saja dalam filem tetapi juga dalam kehidupan sebenar. Itu adalah tenaga positif yang diperlukan masyarakat,” katanya.

Di Malaysia, Golden Job ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam.

JEPUN antara lokasi dalam filem Golden Job.
JEPUN antara lokasi dalam filem Golden Job.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:57 PM